KUALA LUMPUR: Penilaian terhadap tujuh Cadangan Konsep yang diterima daripada firma atau konsortium yang berminat untuk terlibat dalam projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura) dijangka mengambil masa dua bulan untuk disempurnakan.

Kementerian Pengangkutan berkata MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) masih sedang melaksanakan penilaian terhadap Cadangan Konsep yang telah diterima dan hasil penilaian akan dibawa untuk kelulusan kerajaan bagi menyenarai pendek konsortium untuk proses seterusnya iaitu Request for Proposal (RFP) (Permintaan Mengemukakan Cadangan).

"MyHSR Corp telah diberi tanggungjawab untuk menjalankan proses Permintaan Maklumat (Request for Information - RFI) yang berakhir pada 15 Jan." kata kementerian itu menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Kementerian Pengangkutan berkata demikian sebagai menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin tahu adakah kerajaan akan menjamin pinjaman untuk projek yang dianggarkan menelan belanja RM100 bilion tersebut.

Menurutnya, firma atau konsortium yang berminat telah dimaklumkan bahawa kerajaan tidak akan memberi sebarang jaminan pinjaman untuk projek ini dan berhasrat agar ia dilaksanakan melalui Private Fund Investment (PFI) (inisiatif pembiayaan swasta) dan tanpa suntikan dana daripada kerajaan.

Menjawab soalan Kapten Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) mengenai perincian pembinaan lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang akan diteruskan semula, kementerian itu berkata perincian kos bagi setiap butiran masih belum dimuktamadkan.

Katanya, kerajaan masih sedang memperhalusi projek itu yang telah dibatalkan sebelum ini.

Peruntukan tambahan sebanyak RM 4.7 bilion bagi tujuan pengembalian skop projek LRT3 diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024.

-- BERNAMA