KUCHING:Penjawat awam Sarawak akan menerima insentif bonus sebulan setengah gaji atau minima RM2,000.

Manakala bagi penjawat awam Persekutuan, kesemua mereka akan menerima RM500 tambahan daripada bonus Kerajaan Pusat.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bayaran bonus bagi kakitangan awam Sarawak akan dibayar sebelum penghubung tahun ini.

“Manakala bonus RM500 bagi penjawat awam Persekutuan akan dibayar menjelang suku pertama tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan Belanjawan Sarawak 2021 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat.

Tambah Abang Johari, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat menghargai sumbangan, pengorbanan dan komitmen kakitangan awam negeri dan Persekutuan dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab secara profesional ketika tempoh mencabar ini.

“Semasa Pandemik COVID-19, penjawat awam Persekutuan dan negeri termasuk doktor, jururawat, pekerja kesihatan, badan beruniform, Jabatan Imigresen, dan petugas barisan hadapan telah bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk melindungi rakyat,” tambahnya.