Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Perak membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM1.693 bilion, meliputi perbelanjaan mengurus RM1.1 bilion dan pembangunan RM593 juta.
- Belanjawan memberi tumpuan kepada lima fokus utama termasuk kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar, dan keterjaminan bekalan makanan melalui 37 inisiatif bernilai RM260.5 juta.
- Prestasi kutipan hasil negeri meningkat kepada RM1.244 bilion sehingga 23 November 2026, dijangka mencatat lebihan kewangan lima tahun berturut-turut.
IPOH: Kerajaan Negeri Perak hari ini membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM1.693 bilion melibatkan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.1 bilion dan pembangunan sebanyak RM593 juta, meningkat dari tahun sebelumnya.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata belanjawan itu merangkumi lima fokus, iaitu kesejahteraan rakyat; tadbir urus projek berkepentingan negeri; pembangunan modal insan dan belia; kelestarian alam sekitar; dan keterjaminan bekalan makanan.
“Belanjawan 2027 turut menghimpunkan pelbagai bantuan dan inisiatif yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat menerusi satu segmen khusus yang dinamakan Sentuhan Perak Sejahtera,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 Perak, yang bertemakan “Perak Makmur, Rakyat Sejahtera: Hasil Dirasa, Keyakinan Dibina” pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Di bawah segmen Sentuhan Perak Sejahtera, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Tampan berkata ia merangkumi lima titik sentuhan meliputi 37 inisiatif, dengan nilai keseluruhan kira-kira RM260.5 juta bagi meringankan beban kehidupan dan memperluas peluang kepada rakyat Perak termasuk anak muda dalam membina masa hadapan yang cerah.
Lima titik sentuhan itu ialah meringankan beban kos sara hidup rakyat; melindungi keluarga dan membela yang memerlukan; membuka jalan pendidikan anak Perak; memperkasakan usahawan dan menambah pendapatan; serta menghargai jasa dan pengorbanan.
Beliau berkata bermula Januari 2027, kesemua inisiatif ini akan dipaparkan menerusi portal www.peraksejahtera.com bagi memudahkan rakyat mengenal pasti bantuan dan manfaat yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
Antara inisiatif terlibat dalam segmen tersebut ialah RM26 juta bagi Program Kad Perak Sejahtera, meningkat RM1.5 juta berbanding tahun sebelumnya untuk membantu kira-kira 21,000 penerima; RM6.2 juta bagi Program Bantuan Kotak Makanan bagi membantu keluarga yang dihimpit kesempitan hidup; dan RM4 juta bagi Program Pasar Sejahtera Rakyat
Selain itu, RM4.4 juta diperuntukkan bagi Program Bas Perak Sejahtera, meningkat RM780,000 berbanding tahun sebelumnya, meneruskan rebat dan subsidi air yang melibatkan peruntukan sebanyak RM41.13 juta.
“Bagi membantu pasangan muda membuat persediaan membina rumah tangga, kerajaan negeri buat julung-julung kalinya memperkenalkan Kursus Pra Perkahwinan Islam Percuma-Menuju Cinta Sakinah, dengan peruntukan sebanyak RM300,000 melalui JAIPk.
“Inisiatif ini akan memberikan manfaat kepada 3,000 bakal pengantin rakyat Perak yang memenuhi syarat sebagai bekalan ilmu dan persediaan melangkah ke alam perkahwinan,” katanya.
Sementara itu, Saarani berkata di bawah fokus kesejahteraan rakyat antara yang diberikan tumpuan ialah memperkukuh daya tahan menghadapi banjir melibatkan peruntukan RM131.8 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak bagi melaksana langkah mitigasi banjir di negeri ini.
“Usaha ini turut mendapat dukungan Kerajaan Persekutuan melalui kelulusan Projek Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Sepetang bernilai RM94.2 juta, iaitu antara tujuh projek keutamaan Perak di bawah Rolling Plan Kedua Tahun 2027, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13),” katanya.
Di bawah fokus keterjaminan makanan pula, beliau berkata bagi memperkukuh sektor pertanian dan agromakanan pada 2027, kerajaan negeri memperuntukkan RM33.19 juta bagi belanja mengurus Jabatan Pertanian Negeri Perak, meningkat RM2.27 juta berbanding 2026.
Menyentuh mengenai prestasi Belanjawan Negeri 2026, Saarani berkata ia dirangka dengan unjuran defisit RM95.5 juta, namun dengan disiplin pengurusan kewangan yang telah dibina, Perak terus berusaha memastikan akaun tahun ini sekali lagi dapat ditutup dengan lebihan.
“Keyakinan ini disandarkan kepada prestasi kutipan hasil yang memberangsangkan. Seawal 29 Sept 2026, kutipan hasil negeri telah mencecah RM1.006 bilion.
“Alhamdulillah, dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT, sukacita saya mengumumkan bahawa hingga 23 Nov lepas, kutipan hasil negeri telah meningkat kepada RM1.244 bilion.
“Insya-Allah, dengan momentum kutipan hasil yang terus diperkukuh dan perbelanjaan yang dikawal secara berhemat, kerajaan negeri menjangkakan Perak sekali lagi mencatatkan lebihan kewangan pada penghujung 2026, sekali gus melengkapkan pencapaian surplus lima tahun berturut-turut,” katanya.
-- BERNAMA