KUALA LUMPUR:Perdagangan luar Malaysia pada bagi 2021 dijangka kekal sederhana dengan eksport diunjurkan meningkat 2.7 peratus, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata unjuran 2021 dijangka lebih baik memandangkan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) masing-masing mengunjurkan pertumbuhan global pulih pada 4.0 peratus dan 5.5 peratus.

"Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menjangkakan jumlah perdagangan barangan dunia mencatatkan pertumbuhan 7.2 peratus pada 2021.

"Seiring dengan peningkatan pertumbuhan global dan perdagangan antarabangsa, kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan pulih kepada antara 6.5 peratus hingga 7.5 peratus, lebih tinggi daripada unjuran pertumbuhan untuk ASEAN-5, iaitu 5.2 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata eksport Malaysia telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan sejak September 2020 dengan pertumbuhan positif dari tahun ke tahun.

Permintaan lebih tinggi terhadap produk semikonduktor dan berasaskan komoditi dijangka memacu eksport apabila aktiviti ekonomi global kembali rancak, katanya.

Mohamed Azmin berkata lebihan dagangan yang dicatatkan pada 2020 merupakan pertumbuhan dua digit bagi tahun keempat berturut-turut, dengan peningkatan 26.9 peratus kepada RM184.79 bilion berbanding 2019.

Beliau berkata ini juga merupakan lebihan dagangan terbesar setakat ini, mewakili pencapaian Malaysia dalam mengekalkan lebihan dagangan selama 23 tahun berturut-turut sejak 1998.

Jumlah perdagangan pada 2020 bernilai RM1.777 trilion, susut 3.6 peratus daripada angka pada 2019 manakala import bernilai RM796.19 bilion, penurunan sebanyak 6.3 peratus, katanya.

Beliau menjelaskan eksport Malaysia pada 2020, bernilai RM980.99 bilion, berkurangan sebanyak 1.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, sejajar dengan persekitaran luaran yang tidak menggalakkan berikutan kesan pandemik COVID-19.

Eksport meningkat semula pada separuh kedua 2020, menokok sebanyak 4.8 peratus, kenaikan ketara berbanding penguncupan 7.9 peratus pada separuh pertama 2020 susulan ekonomi dibuka semula secara perlahan dan permintaan luaran beransur pulih, katanya.

Beliau berkata eksport lebih rendah dicatatkan adalah ke Thailand, India, Bangladesh, Vietnam dan Jepun manakala eksport lebih tinggi direkodkan ke China, Amerika Syarikat, Singapura dan Hong Kong.

"Prestasi perdagangan Malaysia adalah seiring dengan negara-negara di rantau ini, terutama Indonesia, Singapura, Korea Selatan dan Thailand.

"Perdagangan dengan rakan-rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang sedia ada pada 2020 bernilai RM1.185 trilion, mencatatkan penurunan sebanyak 3.7 peratus dan menyumbang 66.7 peratus kepada keseluruhan perdagangan Malaysia," katanya.

Mohamed Azmin berkata penandatanganan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) baru-baru ini, FTA terbesar di dunia, akan memberi akses kepada lebih satu pertiga pasaran dunia untuk syarikat dan perniagaan Malaysia, menarik pelaburan langsung asing dan menjadi kelebihan untuk pertumbuhan eksport negara.

"Dalam melangkah maju, keyakinan pelabur telah disokong oleh pengesahan Moody's bagi penarafan penerbit jangka panjang mata wang tempatan dan asing Malaysia pada A3, dengan unjuran stabil.

"Ini adalah bukti terhadap disiplin fiskal yang teguh oleh kerajaan dan prospek pertumbuhan jangka sederhana Malaysia selain menunjukkan keyakinan Moody's terhadap Malaysia dengan mempunyai kedudukan kredit yang kukuh," katanya.

Beliau berkata walaupun kini merupakan tempoh yang mencabar, keutamaan kerajaan adalah meletakkan negara di landasan pemulihan ekonomi terutama dengan Rancangan Malaysia ke-12 sebagai rangka tindakan untuk pertumbuhan mampan berlandaskan asas ekonomi yang kukuh dan langkah dasar yang muktamad.

-- BERNAMA