Skip to main content

Bisnes

Perdagangan terbuka perlu berteraskan persaingan adil, penguatkuasaan konsisten - FMM

Lee berkata produk yang memasuki pasaran melalui saluran konvensional atau e-dagang rentas sempadan perlu mematuhi keperluan cukai, keselamatan, kualiti dan peraturan yang berkuat kuasa. - Gambar fail/Bernama
Lee berkata produk yang memasuki pasaran melalui saluran konvensional atau e-dagang rentas sempadan perlu mematuhi keperluan cukai, keselamatan, kualiti dan peraturan yang berkuat kuasa. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menegaskan bahawa perdagangan terbuka harus disertai dengan persaingan yang adil serta penguatkuasaan peraturan secara konsisten.

Presidennya, Jacob Lee Chor Kok berkata produk yang memasuki pasaran melalui saluran konvensional atau e-dagang rentas sempadan perlu mematuhi keperluan cukai, keselamatan, kualiti dan peraturan yang berkuat kuasa.

Ini kerana, katanya penguatkuasaan yang tidak seragam merugikan pengilang yang mematuhi peraturan dan menjejaskan keyakinan terhadap pasaran terbuka, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Advertisement

Sehubungan itu, Lee menggesa kerjasama lebih erat dalam kalangan ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bagi memperkukuh rantaian bekalan sektor pembuatan, menggalakkan perdagangan yang adil dan stabil serta menangani cabaran alam sekitar yang merentasi sempadan negara.

“FMM melihat peluang untuk memperluas kerjasama antara ekonomi APEC dalam bidang pemantauan menggunakan satelit dan kecerdasan buatan (AI), sistem amaran awal, pengurusan tanah mampan serta teknologi alam sekitar.

Advertisement

“Perkongsian maklumat yang lebih kukuh, penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka secara haram serta sokongan kepada amalan mendapatkan sumber secara bertanggungjawab dapat melengkapi usaha sedia ada ASEAN,” katanya.

Beliau berkata akses yang lebih luas kepada pembiayaan dan teknologi praktikal juga diperlukan bagi membantu masyarakat dan perniagaan mencegah pencemaran, berbanding terus menanggung kesannya berulang kali.

Menurut FMM, pengilang di seluruh rantau Asia Pasifik berdepan tekanan yang semakin meningkat susulan perubahan dasar perdagangan, gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos operasi dan permintaan yang tidak menentu.

Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM bagi separuh pertama 2026 yang melibatkan 670 responden juga mendapati 69 peratus daripada mereka berdepan peningkatan kos pengeluaran.

Sementara itu, tinjauan ketiga FMM mengenai konflik Asia Barat pula mendapati 39 peratus responden kehilangan pesanan kepada pesaing di pasaran yang kurang terjejas, manakala 41 peratus menangguhkan atau membatalkan projek pelaburan, automasi atau peluasan perniagaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement