Skip to main content
Advertisement

Bisnes

Perdagangan Vietnam-Malaysia di landasan capai AS$20 bilion

61680012856_MalaysiaVietnam.jpg
Kaunselor Perdagangan Vietnam di Malaysia Phung Van Thanh berkata Malaysia kekal sebagai antara rakan dagang utama Vietnam di ASEAN dan peringkat global.
Advertisement

HANOI: Perdagangan Vietnam-Malaysia berada di landasan untuk melepasi AS$18 bilion pada 2026, sekali gus menjadikan sasaran AS$20 bilion semakin hampir dicapai ketika kedua-dua pihak berusaha membuka peluang eksport baharu, khususnya dalam pasaran halal, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Perdagangan dua hala meningkat lebih dua kali ganda daripada AS$7.4 bilion pada 2015 kepada AS$16.33 bilion pada 2025.

Pada separuh pertama 2026, jumlah itu mencecah AS$10.8 bilion, merangkumi eksport Vietnam bernilai AS$3.4 bilion dan import AS$7.4 bilion.

Kaunselor Perdagangan Vietnam di Malaysia Phung Van Thanh berkata Malaysia kekal sebagai antara rakan dagang utama Vietnam di ASEAN dan peringkat global.

Bagaimanapun, eksport Vietnam ketinggalan berbanding import, menyebabkan negara itu mencatat defisit perdagangan AS$5.67 bilion dengan Malaysia pada 2025 dan hampir AS$4 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2026.

Eksport Vietnam ke Malaysia berkembang pada purata 3.89 peratus setahun antara 2015 hingga 2025, mencecah AS$5.33 bilion tahun lepas. Produk utama termasuk mesin, peralatan elektrik, produk mekanikal dan bahan pengeluaran. Belum ada produk eksport Vietnam ke Malaysia yang mencatat nilai dagangan tahunan AS$1 bilion.

Sebaliknya, import dari Malaysia berkembang pada purata 11.48 peratus setahun dalam tempoh sama, mencecah AS$11 bilion pada 2025, terutamanya melibatkan mesin, peralatan, produk petroleum, komputer, barangan elektronik dan komponen.

Thanh mengenal pasti pensijilan halal sebagai antara cabaran utama, namun pada masa sama menawarkan peluang besar kepada pengeksport Vietnam.

Malaysia, dengan jumlah penduduk kira-kira 34.2 juta orang dan 60.4 peratus daripadanya beragama Islam, merupakan pasaran utama makanan halal serta antara lima pengimport makanan halal terbesar dalam kalangan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dengan import tahunan melebihi AS$20 bilion.

Pasaran makanan halal domestik Malaysia dianggarkan bernilai AS$50 bilion, manakala Pelan Induk Industri Halal menyasarkan penggunaan halal domestik bernilai AS$113 bilion menjelang 2030 serta berusaha meletakkan negara sebagai hab ekonomi Islam global.

Vietnam mempunyai potensi besar untuk meneroka pasaran itu memandangkan negara berkenaan berada dalam kelompok 10 pengeksport utama dunia bagi produk pertanian penting seperti beras, kopi, kacang gajus, lada dan herba perubatan.

Lebih 80 peratus produk pertanian berasaskan tumbuhan Vietnam secara semula jadi memenuhi keperluan asas halal.

Thanh berkata pembangunan produk yang mematuhi piawaian halal dapat membantu syarikat Vietnam mengatasi halangan eksport dan menyumbang kepada pencapaian sasaran perdagangan dua hala AS$20 bilion, dengan AS$25 bilion setahun sebagai sasaran jangka panjang.

Bagaimanapun, syarikat masih berdepan cabaran untuk mendapatkan pensijilan berikutan pengalaman yang terhad, kekurangan perkhidmatan perundingan khusus dan perbezaan keperluan antara pasaran Islam.

Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melaksanakan prosedur pensijilan yang ketat, termasuk semakan dokumen, pemeriksaan di lokasi terhadap kemudahan pengeluaran dan rantaian bekalan, penyediaan kakitangan khusus bagi memastikan pematuhan halal serta latihan pekerja.

Syarikat asing juga perlu menanggung kos perjalanan dan penginapan pasukan pemeriksa, sekali gus meningkatkan kos pensijilan.

Sehubungan itu, pengukuhan keupayaan pensijilan halal dan usaha membantu syarikat Vietnam memenuhi piawaian antarabangsa boleh menjadi faktor utama dalam merapatkan jurang perdagangan serta membuka potensi eksport lebih besar dalam pasaran Malaysia.

-- BERNAMA-VNA

 

 

Must Watch Video

Advertisement