Skip to main content

Bisnes

Perniagaan EU gesa Malaysia-EU berkualiti tinggi bagi tingkatkan pelaburan, perdagangan

KUALA LUMPUR, Sept 26 -- Executive Director of the EU-ASEAN Business Council, Chris Humphrey speaks during an exclusive interview with Bernama at the ASEAN-EU Business Summit 2025 yesterday._BERNAMA
Humphrey berkata perniagaan Eropah turut menyatakan minat untuk menyokong keutamaan ekonomi negara Malaysia melalui pelaburan dan perkongsian awam-swasta. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Peneraju perniagaan Eropah menggesa kepada perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia-Kesatuan Eropah (EU) yang berkualiti tinggi dan memberikan hasil komersial yang praktikal selain memperkukuh pelaburan dan kerjasama jangka panjang.

Pengarah Eksekutif Majlis Perniagaan EU-ASEAN (EU-ABC) Chris Humphrey berkata komuniti perniagaan menggesa penggubal dasar Malaysia mengekalkan momentum ke arah memuktamadkan perjanjian tersebut yang disasarkan pada 2027.

Katanya perniagaan Eropah melihat peluang yang besar untuk memperluas aktiviti bernilai tinggi, terutamanya dalam bidang yang berkaitan dengan transformasi perindustrian, pendigitalan dan peralihan tenaga.

“FTA yang berkualiti tinggi seharusnya tidak hanya tertumpu kepada pengurangan tarif, malah turut membantu mengurangkan halangan kawal selia, menyediakan peraturan yang lebih jelas, mempermudah prosedur kastam dan memperkukuh persekitaran pelaburan.

“Hasilnya adalah persekitaran perdagangan yang lebih telus, boleh diramal dan mesra pelabur,” katanya dalam satu kenyataan.

Ia dikeluarkan bersempena dengan mesyuarat antara wakil 30 syarikat Eropah dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Humphrey berkata perniagaan Eropah turut menyatakan minat untuk menyokong keutamaan ekonomi negara Malaysia melalui pelaburan dan perkongsian awam-swasta.

Bidang yang dibincangkan termasuklah pembuatan termaju, transformasi digital dan inovasi penjagaan kesihatan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13 serta peluang untuk menggerakkan modal swasta jangka panjang untuk projek di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

“Mengenai aspek pembaharuan, peneraju perniagaan menekankan keperluan kepada dasar yang lebih jelas, langkah memudah cara perdagangan digital yang dipertingkatkan, menambah baik sokongan pascapelaburan dan penyelarasan yang lebih kukuh antara agensi kerajaan untuk menyokong pelaburan semula dan pengembangan perniagaan,” katanya.

Selain itu, mereka menekankan kepentingan memperkukuh saluran pembangunan bakat Malaysia dan menaik taraf kemahiran tenaga kerja bagi meningkatkan daya saing negara dalam jangka panjang.

“Malaysia mempunyai asas yang kukuh sebagai hab serantau dengan pelaburan Eropah yang berterusan. Kini, peluang untuk menterjemahkan matlamat kepada projek yang berdaya maju untuk pelaburan, aktiviti ekonomi bernilai tinggi dan hasil yang boleh diukur,” katanya.

EU merupakan antara lima rakan dagang terbesar Malaysia, dengan nilai perdagangan dua hala barangan mencecah €48.9 bilion pada 2025. Jumlah keseluruhan pelaburan Eropah di Malaysia adalah sebanyak €33.1 bilion pada 2024.

Berdasarkan Tinjauan Sentimen Perniagaan EU-ABC 2025, sebanyak 57 peratus responden yang terdiri daripada syarikat Eropah menyatakan rancangan untuk mengembangkan operasi mereka di Malaysia.

Peneraju perniagaan Eropah turut bertemu dengan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour untuk membincangkan pembangunan dan inovasi sektor kewangan termasuk pembayaran digital, kawal selia fintech, kewangan mampan dan penggunaan kecerdasan buatan secara bertanggungjawab.

Kumpulan itu dijadualkan bertemu dengan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib.

Mesyuarat juga dijadualkan dengan pegawai kanan dari kementerian tenaga, pengangkutan dan digital, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia.

“Perbincangan adalah memperkukuh potensi yang besar untuk hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-EU yang lebih baik.

“Keutamaan sekarang adalah mengekalkan momentum dalam rundingan FTA dan menterjemahkan aspirasi dasar Malaysia kepada peluang praktikal untuk pelaburan dan kerjasama,” kata Humphrey.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement