PETALING JAYA: Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Wira Abdul Mutalif Abdul Rahim mengetuai gabungan kepimpinan parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis bagi mendesak siasatan menyeluruh berhubung dakwaan kelewatan melaksanakan keputusan pengampunan diraja membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Laporan dibuat di Balai Polis Petaling Jaya pada Ahad susulan titah rasmi Istana Negara berhubung pelaksanaan baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Langkah bersepadu berkenaan turut disertai barisan kepimpinan sayap UMNO Petaling Jaya, wakil Pas Kawasan Petaling Jaya, parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk MIC dan KIMMA, serta wakil NGO komuniti setempat.
Abdul Mutalif, yang juga Pengerusi BN Petaling Jaya menegaskan, tindakan tersebut berlandaskan prinsip akauntabiliti institusi, kepatuhan kepada Perlembagaan Persekutuan serta kedaulatan undang-undang tanpa berniat mendahului proses keadilan.
"Terdapat beberapa persoalan utama yang memerlukan penjelasan dari sudut undang-undang dan pentadbiran, khususnya mengenai kandungan serta syarat keputusan pengampunan, termasuk asas pelaksanaan tahanan di rumah sebagaimana difahami," katanya.
Beliau menambah, siasatan terperinci oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat mustahak bagi meneliti peranan serta tindakan pihak berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam menentukan pelaksanaan keputusan berkenaan.
"Laporan ini bukan bertujuan mendahului proses siasatan atau menentukan kesalahan mana-mana individu, sebaliknya ia merupakan permohonan supaya tindakan, keputusan dan tanggungjawab pihak berkaitan diperiksa secara objektif, telus dan berdasarkan dokumen serta peruntukan undang-undang yang sah," jelasnya.
Antara perkara utama yang dibangkitkan merangkumi penelitian kandungan, kesahihan dan tafsiran dokumen asal keputusan pengampunan, status pemenuhan syarat pembayaran denda RM50 juta, serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab memberi arahan atau nasihat pentadbiran sehingga menyebabkan pelaksanaan tertangguh.
Selain itu, Abdul Mutalif meminta polis menyiasat sekiranya wujud unsur salah guna kuasa, kecuaian atau pelanggaran undang-undang, di samping meneliti kedudukan prosiding kes SRC International berbanding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari sudut implikasi perundangan terhadap perintah pengampunan tersebut.
Tindakan itu menyusul selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan titah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertarikh 7 November 2026, yang mengesahkan Seri Paduka Baginda telah memerintahkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Istana Negara memperincikan keputusan itu dibuat susulan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada 18 September 2026 yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara.
Menurut kenyataan Istana Negara, perintah pengampunan bersyarat tersebut adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang kebingungan (ambiguity), serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap beliau.
"Memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong," tegas kenyataan Istana Negara itu lagi.