Skip to main content

Bisnes

Perodua turunkan harga Axia di Semenanjung, Sabah & Sarawak berkuat kuasa serta-merta

PERODUA
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengumumkan pengurangan harga bagi model Axia sehingga RM4,700 berkuat kuasa serta-merta. - Foto Perodua
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengumumkan pengurangan harga bagi model Axia sehingga RM4,700 berkuat kuasa serta-merta, susulan peningkatan kecekapan operasi syarikat.

Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Perodua berkata semakan harga itu mencerminkan komitmen syarikat untuk menyalurkan penjimatan kos operasi kepada pelanggan di tengah-tengah cabaran ekonomi semasa.

Semakan tersebut menyaksikan varian Axia 1.0G menerima pengurangan harga terbesar sebanyak RM4,700, diikuti Axia 1.0X (RM1,500), Axia 1.0SE (RM1,000) dan Axia 1.0AV (RM500).

Harga baharu itu terpakai kepada pelanggan di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, semakan harga itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk membantu mengurangkan beban kos yang ditanggung rakyat.

“Semakan harga ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk meringankan tekanan kos yang sedang dihadapi rakyat Malaysia.

“Harga baharu ini juga mencerminkan peningkatan keberkesanan operasi syarikat yang membolehkan penjimatan tersebut disalurkan terus kepada pelanggan,” katanya.

Menurut beliau, peningkatan kecekapan operasi itu turut membolehkan Perodua mengurangkan kos penyelenggaraan selain menyemak semula harga bagi pakej QV-E dan Battery as a Service (BaaS).

Katanya, semua spesifikasi serta standard kualiti Axia kekal tidak berubah, manakala penjimatan kos diperoleh sepenuhnya menerusi penambahbaikan proses operasi bersama vendor tempatan dan rakan strategik dalam ekosistem automotif.

“Harga baharu ini adalah hasil daripada inisiatif penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan secara rapat bersama pembekal tempatan dan rakan kongsi dalam ekosistem automotif,” katanya.

Perodua berkata, pelarasan harga itu menegaskan komitmen syarikat untuk memastikan Axia, sebagai kereta kompak paling mampu milik di Malaysia, terus menjadi pilihan yang mampu dimiliki lebih ramai rakyat.

“Kami berterima kasih kepada vendor dan pengedar yang terus memberikan kerjasama dalam meningkatkan kecekapan kos demi manfaat industri dan rakyat Malaysia,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement