KUALA LUMPUR: Ketika banjir melanda, jalan raya dan halaman rumah yang sebelum ini menjadi laluan harian penduduk boleh berubah menjadi laluan bot penyelamat, dengan pelbagai risiko tersembunyi yang mengancam keselamatan anggota operasi serta mangsa yang dipindahkan.
Dalam keadaan penglihatan terhad dan permukaan air yang dipenuhi objek terapung, pengendali bot bukan sahaja perlu memastikan perjalanan berjalan lancar, malah perlu memberi perhatian kepada penumpang serta mengenal pasti halangan di hadapan.
Menyedari keperluan itu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membangunkan ResQLens, aplikasi pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang berfungsi sebagai ‘mata kedua’ untuk membantu pengendali bot mengesan halangan lebih awal.
Penyelidik Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan UPNM, Prof. Madya Dr. Nor Azliana Akmal Jamaludin berkata, ResQLens dibangunkan bagi menyediakan maklumat visual tambahan kepada pengendali bot, sekali gus membantu meningkatkan tahap kewaspadaan ketika operasi menyelamat dijalankan.
"ResQLens ialah aplikasi pintar yang dibangunkan untuk membantu pengendali bot melihat dan mengenal pasti halangan di hadapan dengan lebih awal. Kami mengibaratkannya sebagai 'mata kedua' kepada pengendali bot.
"Aplikasi itu menggunakan kamera dan teknologi AI untuk menganalisis imej sebelum menandakan objek yang dikenal pasti pada skrin, membolehkan pengendali memberikan perhatian kepada halangan di laluan mereka. Pendekatan berkenaan juga mengambil kira keperluan operasi di kawasan pedalaman yang mungkin mempunyai capaian internet terhad, menerusi sasaran pemprosesan terus pada peranti mudah alih.
"Berbeza dengan sistem navigasi konvensional yang membantu menentukan arah perjalanan, ResQLens memberi tumpuan kepada pengenalpastian objek di hadapan bot. Teknologi itu tidak mengambil alih tugas pengendali membuat keputusan, sebaliknya bertindak sebagai sumber maklumat tambahan bagi membantu mereka menentukan tindakan bersesuaian berdasarkan keadaan sebenar," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Mengulas perkembangan penyelidikan, Dr. Nor Azliana berkata, pembangunan ResQLens merangkumi pengumpulan imej, latihan AI untuk mengenal pasti objek, pembangunan paparan aplikasi serta penilaian ketepatan pengesanan.
Jelas beliau, pengujian lanjut turut diperlukan dalam pelbagai keadaan termasuk perubahan cuaca, pencahayaan dan pergerakan bot sebelum kesesuaiannya untuk operasi sebenar dapat dinilai dengan lebih menyeluruh.
"Potensi ResQLens tidak terhad kepada operasi menyelamat ketika banjir, malah teknologi asasnya boleh diteroka untuk kegunaan bot penumpang sungai, bot nelayan, bot rondaan serta bot pemeriksaan empangan, tertakluk kepada penyesuaian sistem dan latihan AI mengikut keperluan setiap sektor.
"Kerjasama dengan agensi penyelamat dan pengusaha bot penting bagi memastikan teknologi yang dibangunkan benar-benar memenuhi keperluan pengguna di lapangan, selain membuka ruang kepada penambahbaikan dari segi ketepatan pengesanan, kelajuan pemprosesan dan kemudahan penggunaan.
"ResQLens dibina kerana keselamatan mereka yang berada di atas bot sangat bermakna, sama ada anggota penyelamat, penumpang atau keluarga yang sedang dipindahkan," katanya.
Pembangunan ResQLens turut mencerminkan peranan institusi pengajian tinggi dalam menterjemahkan kepakaran penyelidikan kepada penyelesaian yang dekat dengan keperluan masyarakat, selaras dengan aspirasi Festival Idea Putrajaya yang bakal berlangsung pada 17 hingga 19 November ini.
Platform berkenaan menjadi ruang untuk mengetengahkan hasil penyelidikan, teknologi dan inovasi universiti kepada masyarakat serta rakan industri, sekali gus membuka peluang kerjasama bagi memastikan idea yang lahir di institusi akademik dapat dikembangkan menjadi penyelesaian praktikal demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.