KULIM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mempertingkat kesiapsiagaan dalam menghadapi kemungkinan ancaman keselamatan siber, susulan perkembangan konflik antarabangsa yang boleh memberi kesan terhadap keselamatan negara.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata perkembangan situasi keselamatan di luar negara, khususnya konflik membabitkan Iran dan Amerika Syarikat, memerlukan perhatian serius terhadap kemungkinan ancaman siber yang boleh berlaku dalam keadaan tidak menentu.
“Memang kami dapat maklumat daripada luar negara yang menyatakan bahawa ancaman siber ini berlaku dalam keadaan sekarang tidak teratur akibat peperangan antara Iran dan Amerika Syarikat.
“Jadi, di negara kita ini, persiapan memang kami lakukan dari masa ke semasa. Arahan juga telah diberikan untuk kami memastikan segala perkara yang berkaitan dengan isu ancaman siber ini diberi perhatian yang lebih,” katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Semarak Kebudayaan PDRM Kedah di Kompleks Sukan KHTP dekat sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata program Semarak Masyarakat Bersama-sama PDRM menjadi platform penting dalam mendekatkan pasukan polis dengan masyarakat.
“Program ini begitu bermakna dan penting kerana ia mendekatkan pasukan polis dengan masyarakat. Melalui kerjasama ini, kami anggap bahawa rakyat dan polis ini berpisah tiada.
“Banyak maklumat yang boleh dikongsikan bersama bagi mencegah jenayah serta perkara lain berkaitan kesalahan yang memerlukan sinergi antara masyarakat dengan PDRM,” katanya.
Beliau berkata hampir 10,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan program yang berlangsung selama empat hari bermula semalam.
-- BERNAMA