SUDAH menjadi satu amalan kebanyakan perniagaan, kitaran perancangan perniagaan disusun menurut tahun kalendar. Pada awal tahun baru ditetapkan apa yang mahu dicapai bagi menjadikan perniagaan lebih cemerlang dari tahun yang sebelumnya.

Tentunya semua ini didahului dengan menetapkan apakah kedudukan strategik perniagaan. Pasaran mana yang mahu dimasuki atau macamana mahu memperkukuhkan kedudukan di dalam pasaran sedia ada. Ini penting kerana suasana persaingan sentiasa berubah dan ada pemain atau produk baru yang boleh menjadi pilihan pelanggan kita yang sedia ada.

Dari kedudukan pasaran, apakah rancangan pemasaran yang akan mendokong strategi yang ditetapkan tadi? Mahu wujudkan rangkaian baru atau memperkukuhkan rangkaian yang sedia ada? Ada perubahan dari segi harga dan promosi?

Setelah sasaran jualan ditetapkan, bagaimana anda pastikan barangan yang secukupkan pada kualiti yang dimahukan dapat dibekalkan? Adakan proses pengeluaran akan berubah? Ada pembekal baru atau perjanjian baru dengan pembekal lama? Perancangan pengeluaran akan mempastikan apa yang anda janji dengan pelanggan dapat dipenuhi.

Kesemua di atas memerlukan pasukan anda disediakan dengan sebaiknya melalui latihan, pembinaan persaudaraan dan diberi insentif individu dan kumpulan yang bersesuaian. Adakah perniagaan anda memperkenalkan skim imbuhan yang lebih baik di tahun ini?

6 Dimensi Amalan Korporat.

Kecekapan dan kekuatan pengurusan kewangan akan memastikan perniagaan senitiasa mempunyai dana yang diperlukan pada ketika yang tepat. Ini termasuk polisi kredit yang ditetapkan, pengurusan modal kerja dan belanjawan yang cukup kepada inisiatif-inisiatif strategik yang baru seperti pertambahan kapasiti pembuatan dan promosi jualan.

Setiap laporan kewangan mestilah tepat dan disediakan dalam jeda masa yang membolehkan mereka digunakan untuk keputusan perniagaan.

Tahun ini ada banyak perubahan dalam undang-undang cukai. Tentunya ada banyak lagi peraturan-peraturan yang berkaitan dengan perniagaan yang perlu diambilkira dan disesuaikan dengan operasi perniagaan anda. Siapa yang melakukan semua ini dan sudahkah perubahan-perubahan demikian serta kesan kepada perniagaan anda dikenalpasti.

Dengan memecahkan pengurusan perniagaan anda kepada 6 bahagian seperti di dalam rajah yang disertakan di sini, anda boleh nampak apa yang perlu berubah dan apa yang kekal dengan lebih jelas. Mungkin ada usahawan yang menggunakan kaedah yang lain, itu tak apa. Yang pentingnya anda tahu perubahan apa yang seharusnya berlaku di dalam tahun 2019 ini, bagaimana mahu mencapainya dan adakah anda mempunyai keupayaan untuk mencapai hasrat anda itu.

Selamat tahun baru 2019!



* Nik Hasyudeen Yusoff merupakan bekas Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA)

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.