WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu mencadangkan pengenaan tarif baharu ke atas import dari 14 rakan dagang, termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan China, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Tarif ke atas produk tertentu dari EU akan dinaikkan kepada 15 peratus, menurut Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer.
Tarif ke atas barangan China pula akan dinaikkan sehingga 20 peratus mengikut cadangan itu, yang turut merangkumi pengenaan tarif baharu terhadap India, Jepun, Switzerland, Taiwan, Thailand, Vietnam, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Korea Selatan, Malaysia dan Singapura.
"Selama beberapa dekad, kebanyakan rakan dagang kita telah mengguna pakai strategi perindustrian yang berteraskan penyasaran sektor pembuatan, pengekangan gaji dan buruh, sokongan kewangan dan sokongan lain, input daripada ekonomi bukan pasaran serta amalan lain yang memesongkan pasaran sehingga imbangan perdagangan memihak kepada mereka, di samping menghakis asas sektor pembuatan Amerika," kata Greer dalam satu kenyataan.
Trump telah mengenakan tarif secara meluas terhadap rakan dagang utama negara itu sejak memegang jawatan pada Januari 2025, dengan mendakwa langkah itu akan membantu merancakkan sektor pembuatan AS dan menjamin peluang pekerjaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Agung membatalkan sebahagian besar tarif berkenaan.
Cadangan itu kini akan tertakluk kepada sesi pendengaran sebelum sebarang keputusan dibuat, dengan seorang pegawai AS berkata tarif berkenaan tidak mungkin berkuat kuasa sebelum Januari.
Langkah itu meningkatkan tekanan terhadap rakan dagang menjelang Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Miami pada Disember.
-- BERNAMA-dpa