Skip to main content

Malaysia

SIRIM QAS badan pensijilan pertama di Asia Tenggara diakreditasi bagi standard AS9110

Khairol Anuar berkata kejayaan berkenaan akan memperkukuh keupayaan penilaian pematuhan Malaysia serta menyediakan laluan pensijilan bertauliah kepada organisasi MRO yang layak. - Foto BERNAMA
Khairol Anuar berkata kejayaan berkenaan akan memperkukuh keupayaan penilaian pematuhan Malaysia serta menyediakan laluan pensijilan bertauliah kepada organisasi MRO yang layak. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • SIRIM QAS International menjadi badan pensijilan pertama di Malaysia dan Asia Tenggara menerima akreditasi standard AS9110 untuk pengurusan kualiti penyelenggaraan penerbangan.
  • Akreditasi ini membolehkan organisasi MRO tempatan mendapatkan pensijilan bertauliah, sekali gus memperkukuh keupayaan pematuhan dan daya saing sektor aeroangkasa Malaysia.
  • AS9110 melengkapi peraturan penerbangan antarabangsa dan diiktiraf oleh pihak berkuasa seperti CAAM, FAA dan EASA.
Advertisement

KUALA LUMPUR: SIRIM QAS International Sdn Bhd, anak syarikat SIRIM Bhd, muncul sebagai badan pensijilan pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang mendapat akreditasi bagi standard AS9110, iaitu Sistem Pengurusan Kualiti - Keperluan bagi Organisasi Penyelenggaraan Penerbangan.

AS9110 ialah standard yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi organisasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) penerbangan, yang menetapkan keperluan dalam aspek penting seperti kelayakan terbang dan keselamatan penerbangan, perancangan serta pelaksanaan penyelenggaraan, pemeriksaan dan pengujian, pengurusan risiko, faktor manusia, kebolehkesanan serta kawalan data teknikal.

“Dengan akreditasi ini, organisasi yang memenuhi syarat kini boleh mendapatkan laluan pensijilan bertauliah menerusi SIRIM QAS International. Ini termasuk penyedia perkhidmatan penyelenggaraan pesawat dan helikopter, kemudahan baik pulih enjin, organisasi pembaikan komponen dan avionik serta penyedia perkhidmatan penyelenggaraan penerbangan pertahanan,” menurut SIRIM dalam kenyataan.

Advertisement

Menurut kenyataan itu, AS9110 melengkapi peraturan penerbangan berkaitan yang ditadbir oleh pihak berkuasa seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) dan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA).

Antara syarikat yang berjaya memperoleh pensijilan di bawah Sistem Pengurusan Kualiti Aeroangkasa itu ialah Weststar Aviation Services Sdn Bhd dan Pecca Aviation Services Sdn Bhd.

Advertisement

Mengulas pencapaian itu, Pengerusi SIRIM Datuk Khairol Anuar Mohamad Tawi berkata kejayaan berkenaan akan memperkukuh keupayaan penilaian pematuhan Malaysia serta menyediakan laluan pensijilan bertauliah kepada organisasi MRO yang layak, selaras dengan keperluan pengurusan kualiti aeroangkasa yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata setiap komponen, prosedur penyelenggaraan dan proses operasi perlu mematuhi keperluan teknikal yang ketat kerana sebarang kegagalan dari segi kualiti bukan sahaja boleh mengakibatkan kerugian komersial, malah berpotensi menjejaskan keselamatan operasi dan keyakinan orang ramai.

“Inilah sebabnya standard aeroangkasa yang diiktiraf di peringkat antarabangsa amat penting. Bagi syarikat Malaysia yang berhasrat menjadi pembekal kepada pengeluar dan pengendali aeroangkasa utama antarabangsa, pematuhan terhadap keperluan ini semakin penting.

“Ia membuktikan kecekapan teknikal, meningkatkan keyakinan pelanggan dan memperkukuh penyertaan dalam rantaian bekalan antarabangsa yang tertakluk kepada kawal selia ketat,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Majlis SIRIM Industri 2026 di sini malam tadi.

Khairol Anuar berkata pengukuhan keupayaan pensijilan domestik turut membawa manfaat praktikal, antaranya meningkatkan akses kepada perkhidmatan penilaian pematuhan khusus, menyokong pembangunan kepakaran teknikal tempatan dan mengurangkan kebergantungan syarikat Malaysia kepada penyedia perkhidmatan luar negara.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan SIRIM untuk terus memperluas keupayaan pensijilan, pengujian dan teknikal berkaitan aeroangkasa, selain memastikan perkhidmatan pensijilannya kekal selaras dengan perkembangan standard antarabangsa, kemajuan teknologi dan keperluan industri.

“Saya juga menggalakkan penyedia perkhidmatan MRO dan pengeluar aeroangkasa Malaysia supaya terus melabur dalam pembangunan tenaga kerja mahir, pendigitalan, penambahbaikan proses dan amalan penyelenggaraan canggih,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Malaysia telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain serantau yang berdaya saing dalam sektor MRO.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat peluang besar untuk Malaysia memperluas aktiviti sektor itu melangkaui penyelenggaraan pesawat konvensional kepada bidang yang lebih khusus dan bernilai tinggi, termasuk pembaikan enjin dan komponen.

“Matlamat kita perlu melangkaui usaha menarik pemain aeroangkasa global yang sudah mantap untuk beroperasi di negara ini.

“Kita perlu membangunkan ekosistem syarikat Malaysia yang mempunyai keupayaan sehingga menjadi rakan penting dalam rantaian bekalan aeroangkasa global,” katanya dalam ucaptama pada majlis berkenaan.

Pada 2025, SIRIM QAS International menyediakan perkhidmatan kepada lebih 7,000 pelanggan menerusi Skim Pensijilan Sistem Pengurusan dan mengeluarkan 653 sijil baharu.

Dalam pada itu, enam syarikat menerima pengiktirafan menerusi skim Pengurusan Lean dan Green 5S oleh SIRIM Academy.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement