Kepesatan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut berperanan penting kepada pembangunan ekonomi Malaysia dengan membuka banyak peluang perdagangan dan pelancongan.

Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan sememangnya menitikberatkan usaha penambahbaikan berkualiti di KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) secara serius.

Pada masa sama, kerajaan turut menyokong secara proaktif usaha pengendali lapangan terbang berkenaan, Malaysia Airports Holdings dalam pelbagai skop diperlukan bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan operasi di kedua-dua terminal itu.

"Malaysia beruntung kerana lokasinya di tengah-tengah ASEAN. Sehubungan itu, KLIA berada di kedudukan paling tepat untuk mencatat pertumbuhan daripada rantau Asia Pasifik yang lebih luas.

"Malah rantau itu turut diunjurkan oleh Persatuan Pengembaraan Udara Antarabangsa sebagai antara kawasan yang akan menikmati kadar pertumbuhan tertinggi dalam pasaran penumpang pengangkutan udara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Anugerah KLIA 2015 di Hotel Sama-Sama KLIA, di sini, Jumaat malam.

Menurut Liow, kadar aliran pergerakan penumpang KLIA mencatat pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ia melepasi unjuran awal sebanyak 2.5 peratus bagi 2016, katanya.

"Menerusi pembukaan KLIA2, terminal kedua itu menyediakan perkhidmatan syarikat penerbangan tambang rendah.

"KLIA ketika ini mengendalikan 50 juta penumpang setahun dengan khidmat 60 syarikat penerbangan membabitkan lebih 120 destinasi secara terus.

"Ia jauh berbeza daripada pencapaian di Lapangan Terbang Subang yang pada kemuncaknya mengendalikan hampir 16 juta penumpang setahun," katanya.

Liow berkata rahsia kejayaan KLIA ialah sinergi mereka yang berdedikasi termasuk pengendali lapangan terbang, syarikat penerbangan, pembekal perkhidmatan, agensi kerajaan, peruncit, kontraktor dan pengendali di darat yang saling bekerjasama membantu KLIA berada pada kedudukan hari ini.

Pada majlis sama, beliau menyampaikan sejumlah 17 anugerah yang mana pemenang dipilih berdasarkan pencapaian mereka pada tahun lepas mengikut kategori masing-masing dalam sektor seperti pergerakan penumpang, faktor pertumbuhan, prestasi jualan, pengiktirafan antarabangsa dan kecemerlangan perkhidmatan.

Indonesia AirAsia memenangi anugerah Syarikat Penerbangan Luar Terbaik (penumpang), Cathay Pacific meraih anugerah Syarikat Penerbangan Luar Terbaik (kargo), MAS Kargo memenangi anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik (kargo), manakala Air Asia meraih dua anugerah iaitu Syarikat Penerbangan Terbaik (penumpang) dan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik.

-- BERNAMA