KUALA LUMPUR: PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) bersedia untuk mencatatkan prestasi yang baik walaupun menghadapi perubahan global yang berterusan serta dasar tenaga yang berubah-ubah.
PDB turut kekal komited untuk memastikan Malaysia terus maju dengan menjamin bekalan yang boleh dipercayai, menyokong keutamaan negara serta memberikan nilai mampan kepada kalangan pemegang saham.
Advertisement
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Azrul Osman Rani berkata tahun kewangan 2025 telah menguji disiplin dan daya tahan syarikat susulan persekitaran operasi yang dinamik.
Beliau berkata prestasi PDB dipacu oleh kekukuhan perniagaan teras, disokong operasi yang stabil serta peningkatan penggunaan digital.
“Keutamaan kami ialah pelanggan, dan kami komited untuk memenuhi keperluan mereka di samping menyedari mengenai kos,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-44 PDB hari ini.
Azrul berkata dalam melangkah maju, keutamaan PDB adalah untuk terus memperkukuh asas perniagaan, memperluas penggunaan digital dan mengintegrasikan kelestarian, bagi memastikan perniagaan kekal berdaya tahan serta berada pada kedudukan yang baik untuk masa depan.
“Walaupun prospek industri dijangka mencabar dalam beberapa bulan akan datang berikutan impak konflik di Asia Barat namun PDB kekal komited untuk memastikan keperluan bahan api domestik dipenuhi dan terus menjadi keutamaan kami,” katanya.
Keuntungan bersih PDB bagi tahun kewangan 2025 meningkat kepada RM1.10 bilion daripada RM1.09 bilion pada tahun sebelumnya, manakala perolehan naik satu peratus kepada RM38.27 bilion daripada RM37.95 bilion.
Prestasi ini disokong oleh peningkatan jumlah jualan sebanyak dua peratus walaupun harga jualan purata turun satu peratus.
-- BERNAMA