Skip to main content

Malaysia

Malaysia tidak mahu sekadar jadi pengguna AI, tekad bina keupayaan sendiri – PM Anwar

KUALA LUMPUR 27 APRIL 2026. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Pelancaran Pusat Inovasi & Makmal Al Huawei di The Exchange 106@TRX, Kuala Lumpur.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara perlu bergerak sebagai pemain aktif dalam pembangunan teknologi, bukan hanya bergantung kepada inovasi luar. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berhasrat untuk kekal sebagai pengguna semata-mata dalam teknologi kecerdasan buatan (AI), sebaliknya tekad membina keupayaan sendiri dalam ekonomi digital global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara perlu bergerak sebagai pemain aktif dalam pembangunan teknologi, bukan hanya bergantung kepada inovasi luar.

Advertisement

“Kita mahu bekerjasama dengan rakan strategik untuk bina keupayaan dan bersaing dalam ekonomi digital global. Kita juga melabur dalam pembangunan bakat termasuk melahirkan generasi baharu jurutera, penyelidik dan inovator.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi mampu membangunkan keupayaan sendiri dan bersaing dengan yakin di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Huawei AI Lab and Innovation Centre di The Exchange 106, di sini, pada Isnin.

Menurut Anwar, perkembangan pesat AI menuntut negara bertindak pantas agar tidak ketinggalan dalam arus perubahan teknologi global.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, Malaysia kekal terbuka kepada pelaburan dari negara Timur dan Barat, selagi ia menghormati undang-undang serta keutamaan negara.

“Namun, kita tidak akan menyerahkan keputusan penting, termasuk bagaimana data diurus dan cara sistem AI digunakan dalam institusi awam. Teknologi boleh datang dari mana-mana, tetapi peraturan mesti ditentukan oleh Malaysia sendiri,” ujarnya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa pembangunan AI perlu berteraskan rakyat, dengan memastikan manfaat teknologi dapat dinikmati secara inklusif.

Katanya, transformasi digital tidak boleh menyebabkan jurang antara bandar dan luar bandar terus melebar, sebaliknya usaha perlu dipergiat bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus digital.

Anwar turut mengingatkan agar penggunaan teknologi baharu termasuk AI tidak boleh mengabaikan nilai kemanusiaan, maruah serta etika.

Kemudahan Huawei AI Lab dan Innovation Centre yang dilancarkan itu akan berfungsi sebagai pusat rujukan bagi operasi Asia Pasifik meliputi lebih 30 negara dan wilayah, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab teknologi serantau.

Pelancaran pusat itu turut mengukuhkan operasi Huawei di Malaysia yang telah bertapak selama 25 tahun, disokong hampir 4,000 tenaga kerja dengan lebih 80 peratus daripadanya terdiri daripada rakyat tempatan.

Must Watch Video