PETRONAS, Eni tubuh usaha sama huluan serantau di Malaysia dan Indonesia

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Eni, Claudio Descalzi, semasa sidang media di acara ADIPEC 2025 yang berlangsung di Abu Dhabi. - Foto PETRONAS
KUALA LUMPUR: PETRONAS dan firma tenaga Itali, Eni melalui anak syarikat masing-masing, menandatangani Perjanjian Pelaburan (Investment Agreement) bagi menubuhkan sebuah syarikat usaha sama huluan serantau.
Ringkasan AI
- PETRONAS dan Eni menandatangani Perjanjian Pelaburan untuk membentuk syarikat usaha sama huluan serantau, bertujuan mempercepatkan pembangunan sektor huluan di Malaysia dan Indonesia.
- Usaha sama ini menggabungkan aset huluan berimpak tinggi dari kedua negara, dijangka membuka peluang dalam mempercepat pertumbuhan nilai, prestasi operasi, dan keselamatan tenaga di rantau ini.
- Penubuhan syarikat usaha sama ini dijangka selesai pada tahun 2026, dengan komitmen untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi membangun industri yang dinamik serta menyokong aspirasi tenaga serantau.
“Dengan menggabungkan kekuatan portfolio, kepakaran teknikal dan pemahaman serantau PETRONAS serta Eni, syarikat baharu ini berpotensi membuka peluang besar dalam mempercepat pertumbuhan nilai, prestasi operasi dan keselamatan tenaga di rantau ini,” jelas kenyataan bersama antara PETRONAS dan Eni yang dikeluarkan, hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, usaha sama bersejarah ini dijangka menjadi penanda aras baharu dalam pembangunan sektor huluan yang lebih efisien, berdaya saing dan bertanggungjawab.
“Kerjasama bersejarah antara PETRONAS dan Eni ini dijangka menetapkan penanda aras baharu untuk pembangunan huluan yang lebih cekap, kos efektif dan bertanggungjawab.
Pendekatan inovatif ini mencerminkan komitmen teguh PETRONAS dalam menyokong aspirasi tenaga di peringkat nasional dan serantau, di samping membuka ruang untuk kami menyampaikan nilai yang lebih besar serta mampan kepada pelanggan, negara tuan rumah, sektor huluan dan para pemegang kepentingan,” katanya.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, serta Ketua Pegawai Eksekutif Eni, Claudio Descalzi.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Upstream PETRONAS, Mohd Jukris Abdul Wahab, bagi pihak PETRONAS, manakala Ketua Pegawai Operasi Sumber Asli Global dan Pengurus Besar Eni, Guido Brusco, mewakili Eni.
Selain itu, PETRONAS menjelaskan bahawa usaha sama ini menyokong aspirasi gas kedua-dua syarikat serta melengkapi perniagaan sedia ada PETRONAS di Indonesia, sekali gus membuka peluang baharu untuk pertumbuhan dan inovasi dalam sektor tenaga.
“Melalui usaha sama ini, PETRONAS kekal komited untuk terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk pekerja, pihak berkuasa, rakan kongsi dan komuniti tempatan bagi membina industri yang lebih dinamik serta menyumbang kepada aspirasi tenaga serantau,” menurut kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, penubuhan syarikat usaha sama ini dijangka dimuktamadkan pada tahun 2026, tertakluk kepada kelulusan pengawalseliaan di Malaysia, Indonesia dan bidang kuasa lain yang berkaitan, serta persetujuan rakan kongsi dan hak keutamaan masing-masing.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


