KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd (PGB) menjangkakan prestasi keseluruhannya untuk tahun 2023 akan kekal kukuh, disokong oleh kontrak jangka panjangnya yang memberikan hasil yang stabil.

Bagaimanapun, ia berkata turun naik pertukaran asing dan pergerakan harga gas mungkin memberi kesan kepada keuntungannya.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Gas, Abdul Aziz Othman berkata syarikat itu kekal berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada kekangan dalam pasaran gas ketika dunia terus berdepan dengan masalah tenaga global berikutan ketidaksamaan bekalan dan permintaan.

"Kami menjangkakan gas akan kekal sebagai sumber bahan api utama kerana kebolehpercayaannya dan kos tenaga tahap rendah (LCOE) terutamanya di Asia Tenggara kerana peralihan rantau ini yang lebih perlahan ke arah mencapai neutraliti karbon," kata Abdul Aziz dalam Laporan Bersepadu Petronas Gas Bhd 2022 yang dikeluarkan semalam.

Abdul Aziz berkata tarif Peraturan berasaskan Insentif baharu yang diperkenalkan di bawah Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) (2023-2025) untuk pengangkutan gas dan perkhidmatan pengegasan semula dijangka diterjemahkan kepada pendapatan yang lebih rendah untuk segmen perniagaan pengangkutan gas dan pengegasan semula PGB.

"Namun, kedua-dua segmen akan terus menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan manakala hasil untuk segmen pemprosesan gas dijangka kekal stabil di sebalik kontrak jangka panjangnya,

"Kerajaan juga telah mengumumkan pelarasan surcaj pas melalui ketidakseimbangan kepada tarif elektrik bagi separuh pertama 2023 yang akan membantu mengurangkan sebahagian kesan buruk daripada Harga Rujukan Malaysia yang lebih tinggi terhadap prestasi segmen utiliti," katanya.

Untuk mengekalkan momentum pertumbuhan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat infrastruktur gas dan utiliti berpusat terkemuka negara, beliau berkata PGB akan terus meneruskan strategi pertumbuhan dengan memanfaatkan kecekapan terasnya serta peluang yang dibawa oleh peralihan tenaga.

Bagi 2023, Abdul Aziz berkata beberapa projek pertumbuhan yang sedang berjalan dijangka siap termasuk projek penghalaan semula gas di Gas Processing Kertih, saluran paip gas Pulau Indah dan Banting serta sambungan utiliti ke PCC Oxyalkylates Malaysia Sdn Bhd.

"Kami memantau dengan teliti projek-projek ini untuk memastikan ia dihantar dengan selamat, mengikut skop dan bajet," katanya.

-- BERNAMA