KUALA LUMPUR: Sebanyak 647 daripada 716 penduduk Sri Pahang mendaftar bagi proses pengundian dan tawaran Unit Residensi Maarof hari ini, sekali gus membawa mereka selangkah lebih dekat untuk memiliki kediaman baharu selepas hampir 10 tahun menanti.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sesi yang berlangsung di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu menandakan satu lagi langkah penting sebelum mereka berpindah ke kediaman baharu.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, beliau sangat menghargai kesabaran dan kerjasama penduduk sepanjang proses pembangunan semula berkenaan.
“Sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai, saya akan terus bekerjasama dengan DBKL dan semua pihak berkaitan supaya kebajikan serta kepentingan penduduk sentiasa diberi keutamaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Fahmi berkata, Residensi Maarof dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh terdekat.
-- BERNAMA