KUALA LUMPUR: Amalan rumah terbuka, kunjung-mengunjungi serta pemupukan semangat kejiranan perlu dijadikan budaya sepanjang tahun dan bukan hanya ketika musim perayaan, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata, amalan itu mampu menjadi jambatan persaudaraan yang merapatkan hubungan masyarakat berbilang kaum, sekali gus mengelakkan kepelbagaian menjadi garis pemisah dalam kehidupan.
“Perpaduan mesti diterjemahkan melalui interaksi harian, keprihatinan sosial dan semangat saling membantu. Kita perlu membudayakan prinsip faham, hormat, terima dan meraikan kepelbagaian sebagai asas membina masyarakat yang progresif dan harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Deepavali Peringkat Kebangsaan 2026 di Little India, Brickfields, di sini, hari ini, yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Aaron berkata, kekuatan dan keunikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum tidak terletak pada keseragaman rakyatnya, sebaliknya keupayaan mereka untuk bersatu dalam kepelbagaian.
Beliau berkata, walaupun berbeza agama, bahasa, budaya dan tradisi, rakyat Malaysia tetap berkongsi tanah air, Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta aspirasi untuk membangunkan negara dan mempertahankan kepentingan bersama.
Majlis anjuran Kementerian Perpaduan Negara dengan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) itu turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Sambutan bertemakan Cahaya Deepavali, Semarak Perpaduan itu dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan tradisional India termasuk muzik klasik Veenai dan Mridangam, seni mempertahankan diri Silambam, Kalaripayattu dan Karra Samu serta pertunjukan fesyen.
Turut menjadi tarikan ialah reruai Rumah KAMI (Rumah Etnik) yang memperkenalkan kepelbagaian warisan dan tradisi masyarakat Melayu, Cina, Tamil, Telugu, Punjabi, Gujarati dan Malayalee.
-- BERNAMA