Skip to main content

Malaysia

Malaysia berdepan ribuan percubaan serangan siber setiap bulan – Anwar

Anwar mengingatkan bahawa ancaman keselamatan siber tidak boleh dipandang ringan meskipun Malaysia menjalin hubungan baik dengan negara lain. - Bernama
Anwar mengingatkan bahawa ancaman keselamatan siber tidak boleh dipandang ringan meskipun Malaysia menjalin hubungan baik dengan negara lain. - Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan ribuan percubaan serangan siber setiap bulan, sekali gus memerlukan pengukuhan keupayaan keselamatan siber negara bagi menangani ancaman yang semakin kompleks.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ancaman keselamatan ketika ini bukan sahaja melibatkan aspek ketenteraan konvensional, malah turut merangkumi serangan siber, penggodaman dan kegiatan pengganas.

Menurut beliau, perkembangan itu memerlukan tahap kesiapsiagaan lebih tinggi daripada agensi keselamatan negara, khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Advertisement

“Dalam satu bulan ada ribuan percubaan serangan. Jadi kita kena perkukuhkan,” katanya ketika sesi dialog bersama pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) Kem 515, di sini, hari ini.

Anwar berkata, usaha memperkukuh Unit Keselamatan Siber ATM turut dibincangkan bersama kepimpinan angkatan tentera bagi meningkatkan keupayaan negara menghadapi ancaman berkenaan.

Advertisement

Beliau turut mengingatkan bahawa ancaman keselamatan siber tidak boleh dipandang ringan meskipun Malaysia menjalin hubungan baik dengan negara lain.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, persediaan pertahanan negara perlu melangkaui aspek ketenteraan konvensional dan merangkumi penguasaan teknologi baharu termasuk sistem dron serta keupayaan keselamatan siber.

“Keupayaan dan pertahanan itu utama. Dan persiapannya termasuk cyber, termasuk segala bentuk kecanggihan,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama antara ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan negara mempunyai keupayaan mencukupi untuk mengesan serta menangani sebarang ancaman keselamatan.

Katanya, kesiapsiagaan pertahanan perlu diperkukuh secara berterusan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Must Watch Video

Advertisement