Skip to main content

Malaysia

Anwar tegur kelewatan projek pertahanan, amalan komisen tinggi

Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim Hadir Majlis Perasmian Daiso Distribution Centre
Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim Hadir Majlis Perasmian Daiso Distribution Centre
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur kelewatan berpanjangan dalam projek perolehan aset pertahanan, termasuk pembinaan pesawat dan kapal yang mengambil masa sehingga 20 tahun untuk disiapkan.

Beliau berkata amalan komisen tinggi dalam proses perolehan berkenaan turut memerlukan perhatian serius bagi memastikan keupayaan pertahanan negara terus diperkukuh.

“Beli pesawat, buat kapal. 20 tahun tak siap-siap. Komisen tinggi,” katanya ketika sesi dialog bersama pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) Kem 515, di sini, hari ini.

Advertisement

Anwar turut berkongsi pengalamannya ketika melawat Langkawi dan melihat kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berbanding kapal dari beberapa negara lain.

Beliau berkata, keadaan sebahagian aset ketenteraan negara ketika itu membimbangkan apabila terdapat kapal yang sudah berusia puluhan tahun.

Advertisement

Menurutnya, terdapat sebuah kapal yang dibina pada 1976 selain dua kapal frigat dari Yarrow Shipyard yang dibina pada 1998.

Anwar berkata keadaan aset pertahanan yang usang termasuk pesawat dan kereta kebal memerlukan perhatian melalui peningkatan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah meningkatkan peruntukan kementerian berkenaan bagi memastikan keperluan pertahanan negara dapat dipenuhi.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan proses pemilihan aset pertahanan perlu dibuat berdasarkan kepakaran teknikal pihak yang mengendalikan aset berkenaan dan tidak dipengaruhi campur tangan politik.

“Jangan minta menteri campur. Jangan tanya Perdana Menteri. Perdana Menteri mana tahu pasal pesawat mana yang terbaik? Tanya TUDM,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan keputusan berkaitan perolehan aset dibuat berdasarkan keperluan operasi serta penilaian teknikal Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, usaha memperkukuh keupayaan pertahanan negara perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan aset dan kelengkapan ketenteraan sentiasa memenuhi keperluan keselamatan semasa.

Must Watch Video

Advertisement