PC Gabon Upstream S.A. (PCGUSA), anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menemui sumber minyak dan gas di telaga cari galinya, Boudji-1 di Blok F14 (Likuale), Gabon Selatan.

Petronas berkata, penemuan itu menandakan satu pencapaian besar bagi syarikat seiring usahanya mengembangkan pertumbuhan hiliran di Afrika Barat, dan membuktikan keupayaan cari gali sempadan dan operasi laut dalam.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran, Datuk Mohd Anuar Taib berkata penemuan tersebut merupakan perkembangan positif bagi Petronas.

"Ia adalah perkembangan menggalakkan bagi Petronas memandangkan syarikat terus berusaha mencapai pertumbuhan aktiviti di luar Malaysia, seiring strategi memperluaskan perniagaan minyak dan gas utama kami menerusi penambahan jumlah sumber," katanya dalam kenyataan hari ini.

Telaga cari gali laut dalam berkenaan digerudi dalam kedalaman air 2,800 meter dan menemui 90 meter pasir pragaram yang mengandungi hidrokarbon berkualiti tinggi.

Mohd Anuar berkata, selain memajukan industri minyak dan gas Gabon, penemuan tersebut akan merancakkan lagi aktiviti pertumbuhan di rantau itu, di samping melengkapkan pencapaian Petronas ke arah membangunkan portfolio laut dalam yang lebih kukuh di peringkat dunia.

Petronas bersama-sama Kementerian Petroleum dan Hidrokarboh Gabon akan melaksanakan penilaian selanjutnya untuk menentukan aspek pengkomersialan bagi jumlah sumber berkenaan.

PCGUSA merupakan pengusaha Blok F14 (Likuale), dengan Woodside dari Australia memiliki 30 peratus kepentingan penyertaan.

Setakat ini, portfolio laut dalam Petronas termasuk perkongsian medan laut dalam Gumusut-Kakap, Malikai dan Kikeh yang terletak di luar pesisir Sabah.

Selain itu, akan terdapat dua lagi projek pembangunan laut dalam baharu bagi portfolio itu, iaitu medan Limbayong di Sabah dan Kluster Kelidang di Brunei.

Petronas berkata, operasi huluan global syarikat terus berkembang di Mexico selepas memperolehi enam blok laut dalam menerusi pusingan bidaan 2.4 dan sekali gus meletakkannya sebagai pemegang keluasan ekar kasar kedua terbesar di luar pesisir Mexico dengan keseluruhan sembilan blok.

"Dalam usaha memperkukuhkan lagi kedudukan syarikat di Afrika Barat, Petronas menandatanganiPerjanjian Penjualan Sebahagian Kepentingan dengan FAR Ltd, Australia baru-baru ini, bagi memiliki 40 peratus kepentingan dalam lesen petroleum luar pesisir di Blok A2 dan A5 yang terletak di luar pesisir Gambia," menurut Petronas.

-- BERNAMA