Ringkasan AI
- JPJ boleh menahan motosikal hingga 48 jam untuk pemeriksaan lanjut jika didapati tidak mematuhi spesifikasi teknikal atau pengubahsuaian tidak sah.
- Dalam operasi khas di Kota Bharu, 25 motosikal diperiksa dan 196 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk teknikal, lesen tamat tempoh dan tiada insurans.
- Kesalahan paling tinggi direkodkan ialah kesalahan teknikal sebanyak 52 kes, diikuti kesalahan lesen tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans, masing-masing 23 kes.
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh menahan motosikal hingga 48 jam bagi menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan yang dikesan tidak mematuhi spesifikasi teknikal ditetapkan, termasuk pengubahsuaian komponenmenyalahi peraturan.
Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata tindakan mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu bertujuan memastikan setiap motosikal yang digunakan di jalan raya memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.
Beliau berkata pemeriksaan berkenaan meliputi pengubahsuaian ekzos berbunyi bising, penggunaan tayar tidak mengikut spesifikasi asal, sistem brek, penukaran lengan ayun dan nombor pendaftaran tidak mematuhi ukuran ditetapkan.
“Pemilik motosikal perlu mengembalikan komponen atau alat ganti yang diubah suai kepada spesifikasi asal sebelum kenderaan berkenaan boleh dilepaskan selepas kerja pembaikan dan pematuhan disahkan.
“Sekiranya gagal berbuat demikian dalam tempoh berkenaan, tindakan sitaan boleh diambil di bawah Seksyen 64 APJ 1987, tertakluk kepada syarat dan asas perundangan,” katanya pada sidang media selepas Operasi Khas Motosikal JPJ Kelantan di sini, malam tadi.
Beliau berkata sepanjang tempoh pemeriksaan, JPJ turut mengeluarkan Notis PG1 (Notis Larangan Penggunaan Kenderaan) bagi kesalahan teknikal, merakam percakapan individu berkaitan untuk penyediaan kertas siasatan serta mengeluarkan Notis P22 iaitu notis saman.
Sementara itu, dalam operasi melibatkan 59 anggota penguat kuasa itu, sebanyak 25 motosikal diperiksa dan kesemuanya dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Sebanyak 196 notis dikeluarkan, merangkumi 126 Notis P22, 22 Notis Larangan Penggunaan Kenderaan PG1, 23 Notis Arah Periksa Kenderaan di bawah Seksyen 61(1) dan 25 Notis Penahanan Kenderaan di bawah Seksyen 64(1).
Mohd Misuari berkata sebanyak 126 kesalahan direkodkan dengan kesalahan teknikal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 52 kes, diikuti kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans masing-masing 23 kes.
Kesalahan lain melibatkan tiada lesen memandu (17), memandu di bawah umur (lapan) serta menduga kelajuan di bawah Seksyen 42A(2) (tiga).
Beliau berkata operasi di sekitar Kota Bharu itu turut memberi tumpuan kepada kegiatan perlumbaan haram dan menduga kelajuan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
-- BERNAMA