KUALA LUMPUR: Perkhidmatan subsidiari milik penuh Pharmaniaga Bhd, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhds (PLSB) yang membekalkan peralatan serta perubatan kepada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dilanjutkan enam bulan lagi sehingga 30 Jun 2023.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pharmaniaga berkata, PLSB menerima surat daripada KKM bahawa Jawatankuasa Perkongsian Awam-Swasta (JKAS) telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh interim, sementara menunggu pemuktamadan perjanjian konsesi yang baharu.

"Sepanjang tempoh ini, PLSB dikehendaki melaksanakan penyelenggaraan Sistem Maklumat Farmasi (PhIS) dan Sistem Farmasi Klinik (CPS), pembaharuan lesen, permohonan pertukaran serta pelaksanaan sistem di fasiliti baharu berdasarkan kadar kos operasi sedia ada," katanya.

Pharmaniaga menjelaskan lagi KKM turut mengiktiraf kecemerlangan perkhidmatan PLSB dalam tempoh interim sebelum ini.

Pada Disember 2019, KKM telah melanjutkan kontrak konsesi peralatan farmaseutikal dan perubatan PLSB, bertarikh 16 Mac 2011, untuk tempoh interim selama 25 bulan, yang tamat menjelang 30 Nov 2019, bagi memastikan peralihan yang lancar kepada syarikat baharu.

Pada 30 Dis 2021, PLSB menerima surat daripada KKM untuk lanjutan satu tahun lagi sehingga 31 Dis 2022.
- BERNAMA