KUALA LUMPUR: Skuad hoki dalam dewan lelaki negara berjaya menempah slot ke pusingan kedua Piala Asia 2024 apabila melakar kemenangan dramatik 5-4 ke atas juara Sukan SEA 2023, Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B di Taldykorgan, Kazakhstan, hari ini.

Selepas membantu Malaysia bangkit daripada ketinggalan dengan mengikat tuan rumah 3-3 pada aksi kedua kumpulan awal hari ini, ketua pasukan Muhammad Najmi Farizal Jazlan sekali lagi mencuri tumpuan dengan menghasilkan dua jaringan pukulan sudut penalti untuk membantu pasukan kebangsaan menumbangkan Indonesia sekali gus menjuarai Kumpulan B.

Muhammad Najmi meletakkan Malaysia di depan pada minit keempat dan skuad kendalian Mohd Rodzhanizam Mat Radzi itu melebarkan kedudukan menerusi gol padang oleh pemain tengah Muhammad Firdaus Omar selang tujuh minit kemudian.

Beberapa saat sebelum aksi separuh masa pertama berakhir Malaysia dihadiahkan penalti stroke dan Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah memanfaatkan kelebihan tersebut bagi meletakkan pasukan negara selesa di hadapan 3-0.

Bersambung babak kedua, Revo Priliandro menolak masuk pukulan sudut penalti untuk gol pertama Indonesia pada minit ke-24 namun skuad kebangsaan ternyata tidak tersentak dengan jaringan tersebut apabila Muhammad Najmi merobek gawang lawan buat kali kedua untuk gol keempat negara pada minit ke-29.

Indonesia terus menggandakan asakan untuk merapatkan kedudukan dan dua gol berjaya dicetak oleh Muhamad Alfiana bermula jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-31 dan diikuti gol gerakan padang seminit kemudian.

Malaysia berjaya melebarkan jurang jaringan selepas Faridzul Afiq Mohd mengesahkan kemenangan dengan gol padang pada minit ke-35, manakala Indonesia menghasilkan jaringan keempat pada minit ke-37 oleh Adi Leksono.

Menerusi kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia, Mohd Rodzhanizam memuji semangat juang tinggi pemain dan berharap Malaysia mampu mencapai kemenangan pada pusingan kedua bagi menghidupkan peluang merebut slot ke final seterusnya mempertahankan kejuaraan dimenangi pada edisi 2022 di Bangkok.

Mengiringi Malaysia yang layak ke Kumpulan C ataupun pusingan kedua adalah naib juara Kumpulan B Kazakhstan serta dua lagi pasukan dari Kumpulan A iaitu juara Iran dan Thailand, manakala pasukan lain pula diletakkan dalam Kumpulan D.

Skuad kebangsaan dijadual bertemu Thailand pada esok diikuti berdepan juara lapan kali, Iran pada Jumaat ini.

Dua pasukan teratas Kumpulan C akan melangkah ke pentas akhir Sabtu ini selain meraih slot automatik ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 dijadual berlangsung di Porec, Croatia pada 3 hingga 9 Feb 2025.

-- BERNAMA