Skip to main content

Malaysia

Polis kesan suspek cubaan curi kabel bawah tanah di Malim Jaya

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Halim Abas berkata polis mengejar dua kenderaan suspek dengan bantuan beberapa unit kereta peronda (MPV) bermula di Taman Malim Jaya dan melalui beberapa kawasan, iaitu Batu Berendam, Krubong, Cheng sehingga Rumbia di Alor Gajah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Halim Abas berkata polis mengejar dua kenderaan suspek dengan bantuan beberapa unit kereta peronda (MPV) bermula di Taman Malim Jaya dan melalui beberapa kawasan, iaitu Batu Berendam, Krubong, Cheng sehingga Rumbia di Alor Gajah.

Ringkasan AI

  • Polis sedang mengesan sekumpulan individu disyaki cuba mencuri kabel bawah tanah di Taman Malim Jaya, Melaka semalam.
  • Kumpulan penjenayah melarikan diri menaiki Proton S70 dan Toyota Hilux selepas dikesan polis, namun gagal mencuri kabel tersebut.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan orang ramai diminta tampil membantu siasatan.
Advertisement

MELAKA: Polis sedang mengesan sekumpulan individu yang disyaki terbabit dalam cubaan mencuri kabel bawah tanah di Taman Malim Jaya, di sini semalam, kata Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Halim Abas.

Beliau berkata kumpulan penjenayah yang menaiki dua kenderaan itu berjaya meloloskan diri daripada ditahan polis di Rumbia, Alor Gajah selepas anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Melaka Tengah berhubung aktiviti mereka pada 6.05 pagi semalam.

Halim berkata polis mengejar dua kenderaan suspek dengan bantuan beberapa unit kereta peronda (MPV) bermula di Taman Malim Jaya dan melalui beberapa kawasan, iaitu Batu Berendam, Krubong, Cheng sehingga Rumbia di Alor Gajah.

Advertisement

"Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati beberapa individu sedang membuka penutup lubang utiliti bawah tanah disyaki untuk mencuri kabel, namun mereka bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

"Individu terbabit melarikan diri menggunakan dua kenderaan, iaitu sebuah Proton S70 berwarna biru gelap serta Toyota Hilux berwarna putih sebelum berjaya meloloskan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisement

Mengulas cubaan mencuri kabel yang dilakukan kumpulan penjenayah itu, Halim berkata siasatan awal mendapati penutup lubang utiliti bawah tanah di Jalan Malim Jaya 2/2 dan Bulatan Malim Jaya telah dibuka, tetapi suspek tidak berjaya memotong kabel berkenaan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kejadian atau mengenali kenderaan terbabit diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat bagi membantu siasatan.

Semalam, rakaman kejadian itu tular menerusi Facebook yang memaparkan sekumpulan individu disyaki terlibat dalam aktiviti mencuri kabel bawah tanah di kawasan Taman Malim Jaya, yang dimuat naik pemilik akaun Allex Seah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement