Skip to main content

Dunia

Sebahagian besar penerbangan di Lapangan Terbang Brussels dijangka dibatalkan Isnin

Kekurangan petugas menyebabkan pengurusan trafik udara tidak dapat dijalankan dengan selamat sepanjang tempoh berkenaan. - Foto fail/REUTERS
Kekurangan petugas menyebabkan pengurusan trafik udara tidak dapat dijalankan dengan selamat sepanjang tempoh berkenaan. - Foto fail/REUTERS

Ringkasan AI

  • Kebanyakan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Brussels dijangka dibatalkan Isnin akibat pengawal trafik udara menyertai mogok nasional membantah langkah penjimatan kerajaan Belgium.
  • Skeyes memaklumkan perkhidmatan kawalan trafik udara tidak dapat disediakan seperti biasa antara 7 pagi hingga 9 malam, kecuali untuk penerbangan kecemasan dan keselamatan kritikal.
  • Lapangan Terbang Brussels akan memaklumkan penumpang terjejas mengenai pilihan yang tersedia, manakala maklumat pembatalan dipaparkan di laman sesawang rasmi lapangan terbang.
Advertisement

BRUSSELS: Sebahagian besar  operasi penerbangan di Lapangan Terbang Brussels dijangka dibatalkan pada Isnin susulan rancangan beberapa pengawal trafik udara menyertai mogok nasional bagi membantah langkah penjimatan kerajaan persekutuan Belgium, lapor Xinhua.

Lapangan Terbang Brussels dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan bahawa operasinya dijangka mengalami gangguan ketara pada 23 Nov selepas penyedia perkhidmatan navigasi udara Belgium, skeyes, mengumumkan rancangan pengawal trafik udaranya untuk menyertai mogok berkenaan.

Skeyes dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat menyediakan perkhidmatan kawalan trafik udara seperti biasa di lapangan terbang Belgium dan ruang udara di bawah tanggungjawabnya antara 7 pagi hingga 9 malam waktu tempatan pada Isnin.

Advertisement

Menurut syarikat itu, kekurangan petugas menyebabkan pengurusan trafik udara tidak dapat dijalankan dengan selamat sepanjang tempoh berkenaan, dengan hanya perkhidmatan minimum yang penting dikekalkan bagi penerbangan kecemasan dan penerbangan lain yang melibatkan aspek keselamatan kritikal.

Lapangan Terbang Brussels memaklumkan syarikat penerbangan akan menghubungi penumpang terjejas secara langsung bagi menjelaskan pilihan yang tersedia, manakala maklumat pembatalan penerbangan akan dipaparkan di laman sesawang lapangan terbang itu.

Advertisement

Sementara itu, Brussels Airlines melahirkan rasa kesal terhadap pengumuman yang disifatkan terlalu lewat itu.

Menurut laporan media tempatan, syarikat penerbangan berkenaan berkata pengumuman pada saat akhir menyukarkan syarikat penerbangan, pihak lapangan terbang dan rakan operasi membuat persediaan sewajarnya bagi mengurangkan kesan terhadap penumpang.

Tiga kesatuan sekerja utama Belgium menyeru demonstrasi nasional di Brussels pada Isnin bagi membantah langkah penjimatan yang dilaksanakan kerajaan persekutuan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement