Skip to main content

Malaysia

Lelaki Filipina terlibat rompak berkumpulan guna senjata berjaya diberkas

Suspek kes rompak berkumpulan menggunakan senjata tajam berjaya diberkas menerusi Op Sentap di kawasan setinggan belakang Bandar Letat Jaya, Batu 3, Jalan Lintas Utara, Sandakan. -Foto Sinar Harian
Suspek kes rompak berkumpulan menggunakan senjata tajam berjaya diberkas menerusi Op Sentap di kawasan setinggan belakang Bandar Letat Jaya, Batu 3, Jalan Lintas Utara, Sandakan. -Foto Sinar Harian
Advertisement

SANDAKAN: Seorang lelaki warga Filipina yang diburu sejak lima bulan lalu kerana disyaki terlibat dalam samun berkumpulan bersenjata tajam diberkas polis dalam operasi khas di daerah ini awal pagi Ahad.

Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 pagi menerusi Op Sentap yang dijalankan di kawasan setinggan belakang Bandar Letat Jaya, Batu 3, Jalan Lintas Utara di sini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

Advertisement

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan sebilah pisau sepanjang 27 sentimeter yang bersarung merah.

George berkata siasatan awal mendapati lelaki terbabit disyaki terlibat dalam kejadian samun berkumpulan bersenjatakan objek tajam yang dilaporkan pada 1 Jun lalu dengan kerugian dianggarkan RM1,300.

Advertisement

"Hasil soal siasat awal juga mendapati suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa lagi kes jenayah lain di sekitar daerah ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu kesalahan jenayah lampau di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Suspek kini direman selama tujuh hari bermula Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

George berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiat operasi membanteras jenayah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah itu terus terpelihara. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement