KUALA LUMPUR: Penyedia pembiayaan alternatif, Planworth Global Factoring Sdn Bhd (Planworth) melancarkan platform digital baharu pembiayaan rantaian bekalan bagi memudahkan akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, platform berkenaan menghubungkan pembeli termasuk kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta dengan vendor PMKS serta pembiaya dalam satu ekosistem digital bersepadu.
Katanya, pendigitalan berkenaan mampu membantu mengurangkan kerenah birokrasi dan kelewatan mendapatkan kecairan modal, sekali gus membolehkan vendor PMKS memperoleh kelulusan serta akses dana dengan lebih tersusun, pantas dan efisien.
"Platform ini membolehkan vendor PMKS memperoleh kelulusan dan akses dana secara lebih tersusun, pantas dan efisien, sekali gus membolehkan mereka menyiapkan projek tepat pada waktunya sambil menjaga kestabilan rantaian bekalan negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi libat urus pembiayaan dan pertumbuhan PMKS bersama Timbalan Menteri KUSKOP, selain pelancaran platform digital baharu pembiayaan rantaian bekalan Planworth, perasmian pejabat Planworth dan majlis pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU), di sini, Khamis lalu.
Pada majlis sama, Planworth turut memeterai tiga memorandum persefahaman (MoU) bersama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA) dan CDC International Sdn Bhd bagi memperluas kerjasama strategik serta sokongan kewangan kepada usahawan dan komuniti perniagaan merentas sektor.
Mohamad berkata, inisiatif itu juga dijangka menyokong serta melengkapi program pembangunan vendor utama seperti Program Pembangunan Vendor di bawah KUSKOP.
Menurutnya, akses kepada pembiayaan yang pantas, mesra dan berkesan kekal antara cabaran utama PMKS yang boleh menjejaskan potensi pertumbuhan sektor berkenaan.
"Walaupun kerajaan menerusi agensi seperti SME Bank, SME Corp Malaysia, TEKUN Nasional, TERAJU dan MARA terus menyediakan pelbagai fasiliti pembiayaan, peranan serta penglibatan aktif sektor swasta amat dituntut untuk melengkapi ekosistem ini," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut menyambut baik sumbangan Planworth dalam memperkukuh ekosistem pembiayaan PMKS menerusi mobilisasi modal sendiri dan kemudahan kredit perbankan.
Beliau berkata, Planworth sebelum ini telah menyalurkan pembiayaan melebihi RM4 bilion serta menyokong nilai kontrak menghampiri RM6 bilion.
Pada majlis sama, Planworth turut merasmikan pejabat korporat baharunya bernilai sekitar RM20 juta, selain menyaksikan pertukaran dokumen MoU dengan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA) dan CDC International Sdn Bhd.