Ringkasan AI
- Presiden AS, Donald Trump, mencadangkan sekatan atau cukai tinggi terhadap syarikat teknologi AS yang membina pusat data AI di luar negara.
- Trump menegaskan pembangunan infrastruktur AI perlu kekal di AS untuk memastikan keunggulan negara itu dalam persaingan global, khususnya berdepan China.
- Cadangan ini dibuat ketika Washington mengetatkan kawalan eksport cip komputer, memberi kesan kepada pelaburan pusat data di luar negara.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi bayangan pentadbirannya mungkin mengenakan sekatan atau cukai tinggi terhadap syarikat teknologi AS yang membina pusat data kecerdasan buatan (AI) di luar negara.
Menurut laporan BBC, Trump berkata beliau mahu pembangunan infrastruktur AI kekal tertumpu di AS bagi memastikan negara itu terus mendahului persaingan global, khususnya berdepan China.
“Kami akan pastikan semuanya kekal di negara ini,” katanya kepada wartawan selepas pulang daripada lawatan ke Asia.
Bagaimanapun, Trump tidak memperincikan bagaimana dasar itu akan dilaksanakan dan mengakui cadangan berkenaan belum dibincangkan secara rasmi dengan pasukannya.
Ancaman itu dibuat ketika beberapa syarikat teknologi utama seperti Meta dan Google sedang meluaskan pelaburan pusat data mereka di luar AS.
Google, misalnya, sebelum ini mengumumkan pelaburan berbilion euro untuk infrastruktur AI di Finland, manakala Meta membangunkan pusat data baharu di wilayah Alberta, Kanada.
Langkah itu turut menyusuli keputusan Washington minggu ini untuk mengetatkan kawalan eksport cip komputer berteknologi tinggi.
Syarikat yang mahu membeli cip canggih kini perlu mendapatkan lesen khas bagi mengelakkan teknologi tersebut digunakan oleh syarikat China atau diseludup ke negara itu.
BBC melaporkan dasar baharu itu berpotensi memberi kesan kepada beberapa negara Asia Tenggara yang giat menarik pelaburan pusat data, termasuk bagi memenuhi permintaan syarikat China yang mendapatkan kuasa pemprosesan komputer di luar negara.
Pusat data dianggap komponen penting dalam perkembangan AI moden kerana ia menempatkan pelayan dan cip berkuasa tinggi yang digunakan untuk mengendalikan sistem seperti ChatGPT dan Claude.
Walaupun cadangan Trump itu masih belum dimuktamadkan, ia dilihat sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas AS untuk mengekalkan penguasaan dalam sektor AI serta mengehadkan pengaruh China dalam teknologi strategik tersebut.