BUSINESS
PM Anwar mahu bank digital bantu tingkatkan transaksi e-pembayaran

Anwar berucap merasmikan bank digital, Boost Bank, di Kuala Lumpur, 6 Jun 2024. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin sasaran 400 transaksi e-pembayaran per kapita mampu dicapai lebih awal berbanding sasaran asal pada 2026 menerusi usaha yang dilakukan oleh bank digital.
Ringkasan AI
- Anwar Ibrahim mahu meningkatkan jumlah transaksi e-pembayaran per kapita Malaysia kepada 400 lebih awal daripada sasaran semasa pada 2026.
- Peningkatan transaksi e-pembayaran dilihat sejak 2011, tetapi masih perlu usaha lebih untuk menyebarkan kesedaran dan manfaat kepada semua rakyat Malaysia.
- Boost Bank, yang merupakan gabungan antara RHB Bank dan Boost Holdings, berusaha untuk mencapai sasaran tersebut dengan sokongan daripada Kementerian Digital dan Menteri Kewangan.
Bank Negara Malaysia dalam Laporan Tahunan 2023 memaklumkan sebanyak 343 transaksi e-pembayaran per kapita dicatatkan pada 2023, iaitu pertumbuhan sebanyak 20 peratus daripada 285 transaksi pada tahun sebelumnya.
Boost Bank adalah gabungan 40:60 oleh RHB Bank dan Boost Holdings Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung Axiata Group Bhd.
Anwar berkata bagi mencapai sasaran itu, usaha tersebut perlu mula dilaksanakan pada masa ini dengan gerakan bersungguh-sungguh.
"Kalau bank-bank banyak bagi maklumat biasa berkenaan perbankan kepada pengguna, bank juga harus maklumkan kepada pengguna tentang penemuan baharu mengenai digital," kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usaha yang bersungguh perlu dilakukan untuk memastikan rakyat mampu memahami kecelikan digital, bagi memanfaatkan perkembangan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan.
"Saya harap keluarga dalam Boost Bank ini, Axiata dan RHB sebagai tonggaknya turun untuk menyebarkan kemudahannya supaya dimanfaatkan oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai keutamaannya dan kepada rakyat terbanyak, ini baru ada makna," kata beliau.
Beliau berkata usaha itu akan dibantu oleh Kementerian Digital di bawah Menterinya Gobind Singh Deo dalam memberi idea dan saranan yang sesuai kepada Boost Bank.
Anwar turut meminta laporan berkaitan usaha yang dilakukan oleh Boost Bank itu dibentangkan oleh Gobind kepada Kabinet dalam tempoh enam bulan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami