Skip to main content

Bisnes

PNB labur RM593.6 juta sejak 1996 bangunkan bakat untuk kemajuan negara

71698661258_PNB.jpg
Amir Hamzah berkata pembangunan modal insan menerusi institusi seperti PNB turut memberi kesan lebih luas apabila bakat yang digilap kemudiannya memperkukuh institusi lain di seluruh negara. - Gambar hiasan/PNB
Advertisement

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) telah melabur sebanyak RM593.6 juta dalam pendidikan sejak 1996 menerusi Program Biasiswa PNB bagi membangunkan bakat yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara.

Sejak diperkenalkan dengan kumpulan perintis seramai 10 pelajar, program itu telah menaja 6,547 penerima biasiswa menerusi pelbagai inisiatif pendidikan dan pembangunan profesional manakala 726 penerima masih berada dalam rangkaian PNB.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata biasiswa merupakan pelaburan strategik jangka panjang yang hasilnya tidak semestinya dapat dilihat secara serta-merta, namun kesannya dapat dirasai merentasi dekad.

“Sekiranya dilihat dari satu sudut, program ini seperti platform bantuan kewangan untuk mengiktiraf pencapaian akademik semata-mata.

“Namun hakikatnya, nilai sebenar program ini terletak pada bakat yang digilap, pintu peluang yang dibuka luas dan pengupayaan mobiliti sosial demi membina sebuah negara yang inklusif dan sejahtera,” katanya dalam ucapan pada Majlis Ulang Tahun Ke-30 Biasiswa PNB di sini, pada Rabu.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Rizal Rickman Ramli, bersama alumni Biasiswa PNB daripada pelbagai generasi.

Amir Hamzah berkata Program Biasiswa PNB telah berkembang menjadi satu platform yang bukan sahaja menyediakan bantuan pendidikan, malah melaksanakan agenda negara dengan menyerlahkan potensi anak muda daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi untuk menjadi aset kepimpinan kepada Malaysia.

Beliau berkata kejayaan program berkenaan dapat dilihat menerusi alumni yang kini berkhidmat sebagai profesional, penyelidik, usahawan, penjawat awam dan pemimpin korporat serta memainkan peranan dalam memacu kemajuan negara.

Menurutnya, dunia kini berada dalam era peralihan yang menuntut tahap ketahanan dan daya adaptasi yang tinggi susulan perubahan pesat menerusi ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta cabaran peralihan tenaga.

“Dalam persekitaran global yang mencabar ini, kelebihan daya saing sebenar sesebuah negara tidak lagi bergantung pada sumber asli atau infrastruktur fizikal semata-mata, sebaliknya terletak pada keupayaan modal insannya,” katanya.

Berlandaskan Kerangka Ekonomi MADANI dan ikhtiar GEAR-uP yang diterajui Kementerian Kewangan, Amir Hamzah berkata tumpuan utama kerajaan adalah melahirkan bakat tempatan yang berdaya saing, berdaya tahan serta mampu mencipta nilai tinggi bagi ekonomi negara.

Selari dengan usaha itu, inisiatif Bakat MADANI menyasarkan penglibatan seramai 25,000 anak muda daripada keluarga berpendapatan rendah dalam ekosistem sektor strategik negara menjelang pertengahan 2027.

Ekosistem berkenaan merangkumi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta industri berteknologi tinggi termasuk semikonduktor, tenaga hijau, digital dan AI.

Amir Hamzah berkata pembangunan modal insan menerusi institusi seperti PNB turut memberi kesan lebih luas apabila bakat yang digilap kemudiannya memperkukuh institusi lain di seluruh negara.

“Apabila modal insan yang digilap oleh sebuah institusi seperti PNB berkembang dan memperkukuh institusi lain di seluruh negara, ia memberikan kesan ketara kepada daya saing dan daya tahan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Raja Arshad berkata tiga dekad Program Biasiswa PNB bukan sahaja mencerminkan komitmen PNB dalam membangunkan bakat, malah menjadi mercu tanda kejayaan, harapan dan legasi yang dibina sepanjang tempoh berkenaan.

“Melalui para penerima biasiswa, kami bukan sekadar membuka peluang pendidikan, malah memperkasakan pemimpin masa depan yang mampu menjadi penyuluh kepada pembangunan negara.

“Visi kami jelas, iaitu membuka peluang, menggilap potensi anak-anak Malaysia dan membantu mereka membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata ramai alumni Biasiswa PNB kini berjaya dalam bidang masing-masing, termasuk memegang jawatan tertinggi dalam organisasi terkemuka di dalam dan luar negara serta menjadi pemimpin dalam pelbagai sektor.

Katanya di PNB sendiri, ramai alumni menjadi sebahagian daripada kepimpinan kanan, pelapis pemimpin dan tenaga kerja merentasi pelbagai fungsi strategik termasuk pelaburan, kelestarian, risiko, perundangan, pematuhan serta jualan dan pengedaran.

Raja Arshad berkata pencapaian alumni berkenaan membuktikan bahawa pelaburan dalam bakat dan pendidikan bukan sahaja mampu mengubah kehidupan dan memperkasakan keluarga, malah akhirnya menyumbang kepada kemajuan negara.

Program Biasiswa PNB kini merangkumi pelbagai laluan pembelajaran termasuk pendidikan menengah dan tinggi, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), program profesional serta program berkaitan warisan.

Selain bantuan kewangan, penerima turut diberikan sokongan persediaan akademik, bimbingan mentor, peluang latihan industri, pendedahan antarabangsa dan pembangunan berterusan bagi membantu mereka merealisasikan potensi diri serta mempersiapkan diri untuk peranan kepimpinan pada masa depan.

Bersempena dengan ulang tahun ke-30, PNB turut melancarkan PNB Lumina, sebuah platform yang menghubungkan alumni Biasiswa PNB untuk terus berkembang bersama, membimbing, memberi inspirasi dan menyumbang kembali kepada masyarakat.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement