Skip to main content

Malaysia

8.5 juta pekerja kekal carum LINDUNG 24 Jam, sedar kepentingan perlindungan selepas waktu kerja

[TB]_PERKESO LINDUNG_PERKESO
Mohammed Azman (kanan) pada sidang akhbar pengumuman 8.5 juta pekerja kekal carum Lindung 24 Jam bagi perlindungan selepas waktu kerja di Menara PERKESO, di sini, pada Rabu. - Foto PERKESO
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seramai 8.5 juta pekerja atau 87.6 peratus kekal menyertai Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam), mencerminkan kesedaran terhadap kepentingan perlindungan keselamatan sosial selepas waktu bekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, jumlah itu direkodkan selepas pekerja diberikan pilihan untuk meneruskan atau menamatkan penyertaan dalam LINDUNG 24 Jam susulan keputusan Kabinet pada Julai lalu untuk tidak memandatorikan caruman skim berkenaan.

“Pada bulan Julai Kabinet telah membuat keputusan untuk tidak memandatorikan caruman untuk LINDUNG 24 jam.

“Jadi dari tempoh tersebut sehingga 31 Ogos kita telah memberi opsyen kepada pekerja untuk memilih sama ada meneruskan perlindungan LINDUNG 24 jam ataupun untuk opt out (menarik diri).

“Jadi hari ini sukacita saya memaklumkan bahawa dengan opsyen yang telah diberi, seramai 8.5 juta pekerja masih kekal memilih LINDUNG 24 jam,” katanya pada sidang media khas LINDUNG 24 Jam di ibu negara pada Rabu.

Menurut Mohammed Azman, daripada 12.4 peratus pekerja yang memilih untuk opt-out (menarik diri), hampir 52 peratus merupakan mereka yang bergaji bawah RM3,500, sekali gus menjadi kumpulan terbesar yang mengambil keputusan tidak menyertai skim berkenaan.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan kerana golongan berpendapatan rendah berdepan risiko kejutan kewangan sekiranya ditimpa kemalangan di luar waktu bekerja, khususnya mereka yang tidak mempunyai perlindungan insurans.

“Sebagai golongan terbesar yang opt out (menarik diri) untuk tidak menyertai, jadi sedikit concern (bimbang) untuk kami di PERKESO akan perlindungan mereka kerana antara golongan B40 hampir 96 peratus tidak mempunyai perlindungan.

“Kita berharap mereka akan memikirkan semula dan mereka akan mempertimbangkan untuk melihat kepada kepentingan perlindungan LINDUNG 24 jam ini,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi data daripada Bank Negara Malaysia (BNM) 2024 yang menunjukkan hanya 45.5 peratus rakyat Malaysia mempunyai insurans hayat, manakala kadar penyertaan dalam kalangan kumpulan B40 jauh lebih rendah, sekitar empat peratus.

Dari segi taburan mengikut negeri pula, pekerja yang memilih untuk opt-out (menarik diri) paling ramai berada di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan gabungan 53 peratus, diikuti Johor sebanyak 11 peratus, Pulau Pinang 9 peratus, manakala baki 27 peratus melibatkan negeri-negeri lain.

Dalam pada itu, LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan pada 1 Jun 2026 bertujuan memperluaskan perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan bukan berkaitan pekerjaan, termasuk di luar waktu bekerja.

Mohammed Azman berkata, seorang pekerja sektor formal di Malaysia hanya menghabiskan kira-kira 33 peratus masa dalam setahun untuk bekerja, termasuk tempoh perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja.

Ini bermakna baki 67 peratus atau kira-kira 244 hari setahun dihabiskan di luar waktu bekerja, tempoh yang turut terdedah kepada risiko kemalangan.

“Kalau saya nyatakan sebentar tadi 87.6 peratus atau 85 juta, ini adalah antara pekerja-pekerja yang memikirkan kepentingan perlindungan sosial yang memikirkan keluarga mereka yang memikirkan masa depan jika berlaku sebarang kemalangan, kecederaan, hilang upaya, mereka tidak mampu bekerja.

“Jika berlaku sebarang kematian, isteri, suami, anak-anak mereka, ibu-ibu mereka akan terus terlindung dengan skim keselamatan sosial yang sedia ada,” jelasnya.

Image
[INSERT]_PERKESO LINDUNG 1_PERKESO
Mohammed Azman berkata kira-kira 10,000 pekerja yang pada peringkat awal memilih untuk opt-out (menarik diri) telah kembali menyertai skim LINDUNG 24 Jam. - Foto PERKESO

Tambah beliau, perlindungan sosial juga tidak seharusnya disamakan dengan insurans persendirian atau kad perubatan kerana ia berfungsi sebagai jaringan keselamatan untuk membantu pekerja dan keluarga apabila berdepan risiko kehilangan pendapatan serta keupayaan bekerja.

Pelaksanaan LINDUNG 24 Jam turut menunjukkan keperluannya apabila 6,330 tuntutan diterima PERKESO sepanjang tiga bulan pertama, dari 1 Jun hingga 31 Ogos 2026, dengan purata kira-kira 69 kes sehari atau tiga kes setiap jam.

“Setakat 31 Ogos kita telah menerima 6,330 tuntutan dan purata bayaran yang telah dibayar adalah sekitar RM10 juta.

“Ini adalah bayaran jangka pendek, bayaran jangka panjang mungkin lebih 10 kali ganda daripada bayaran jangka pendek yang perlu dibayar,” katanya.

Jumlah keseluruhan bayaran faedah yang disalurkan mencecah RM9.97 juta, meliputi Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, ganti belanja perubatan, Faedah Pengurusan Mayat, Faedah Orang Tanggungan serta alat pemulihan dan implan.

PERKESO turut merekodkan kes membabitkan individu yang sebelum ini memilih untuk opt-out (menarik diri) tetapi kemudiannya mengemukakan tuntutan selepas ditimpa kemalangan di luar waktu bekerja.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata kira-kira 10,000 pekerja yang pada peringkat awal memilih untuk opt-out (menarik diri) telah kembali menyertai skim berkenaan.

“Walaupun 12.4% opt out (menarik diri) tetapi kita akan berusaha untuk memberi taklimat, pengetahuan, kesedaran untuk mereka opt in (menyertai).

“Jumlah yang telah menarik diri namun kembali semula, adalah kira-kira 10,000 pekerja yang telah pada peringkat awal opt out (menarik diri) dan telah kembali semula,” tegasnya.

Bagi pekerja yang masih memilih untuk opt-out (menarik diri), penyertaan semula LINDUNG 24 Jam dibuka pada bila-bila masa secara dalam talian melalui lindungfaedah.perkeso.gov.my bermula 2 September 2026 tanpa had tempoh untuk mencarum semula.

Image
[INSERT]_PERKESO LINDUNG 2_PERKESO
Mohammed Azman (tengah) berharap agar individu yang opt out (menarik diri) daripada skim Lindung 24 Jam mempertimbangkan untuk melihat semula kepentingan skim berkenaan. - Foto PERKESO

Pada masa sama, pekerja yang kekal dalam skim akan terus dilindungi selagi memenuhi syarat di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), selaras dengan prinsip ‘Once In, Always In’.

 

 

Must Watch Video

Advertisement