KUALA LUMPUR: Kerugian bersih Pos Malaysia Bhd berkurangan kepada RM43.46 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2026, berbanding RM45.41 juta pada suku sama tahun lepas.
Pendapatan meningkat kepada RM481.29 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026 berbanding RM441.56 juta tahun lepas, didorong oleh momentum positif merentas semua segmen perniagaan, pertumbuhan volum bungkusan yang lebih kukuh, serta sumbangan lebih baik daripada Pos Aviation dan Pos Logistics.
Bagi separuh pertama tahun 2026, syarikat kurier nasional itu mengurangkan kerugian kepada RM63.0 juta daripada RM86.94 juta, manakala pendapatan meningkat 8.2 peratus kepada RM982.65 juta daripada RM908.62 million tahun lepas, didorong oleh prestasi bertambah baik serta pertumbuhan daripada perniagaan lain kumpulan itu, termasuk pensijilan digital, perkhidmatan data dan Pos Ar-Rahnu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Charles Brewer berkata keputusan suku kedua itu menunjukkan bahawa usaha keras untuk menstrukturkan semula Pos Malaysia membuahkan kemajuan boleh diukur kerana syarikat iru sedang meningkatkan pendapatan, mengurangkan kerugian dan menjana aliran tunai operasi yang positif, serta terus mengukuhkan asas perniagaan.
“Pasaran kekal mencabar, tetapi tumpuan kami jelas, iaitu menguruskan perniagaan dengan disiplin, meningkatkan perkhidmatan dan produktiviti, serta membina Pos Malaysia yang lebih mampan untuk terus berkhidmat kepada rakyat Malaysia.
“Kami sedang membina Pos Malaysia yang lebih berdaya tahan, lebih cekap dan lebih relevan kepada komuniti serta perniagaan yang kami khidmatkan. Keutamaan kami adalah untuk terus mengukuhkan perniagaan teras, serta menggunakan digital dan kecerdasan buatan secara praktikal yang meningkatkan perkhidmatan, produktiviti dan pengalaman pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lembaran imbangan kumpulan itu diperkukuh secara ketara menerusi terbitan pada Mac, 2026 bagi peringkat pertama bernilai RM300 juta di bawah Program Sukuk Wakalah berkekalan bernilai RM1.0 bilion.
Syarikat itu memaklumkan bahawa terbitan tersebut melonjakkan jumlah ekuiti kepada RM327.0 juta setakat 30 Jun 2026, daripada RM89.2 juta setakat 31 Disember 2025.
Pos Malaysia menyatakan bahawa syarikat itu memasuki separuh kedua tahun kewangan 2026 atas kedudukan yang lebih kukuh, disokong oleh pertumbuhan pendapatan lebih baik, kerugian yang menyusut, aliran tunai operasi positif dan lembaran imbangan diperkukuh.
Walaupun keadaan pasaran kekal mencabar, Pos Malaysia kekal berhati-hati tetapi optimistik terhadap penambahbaikan berterusan tahun ke tahun, disokong oleh pelaksanaan berdisiplin agenda transformasinya, kecekapan kos, kebolehpercayaan perkhidmatan, penggunaan digital dan kecerdasan buatan, serta kemajuan berterusan dalam pembaharuan kawal selia pos.
-- BERNAMA