KUALA LUMPUR: Duta Besar Amerika Syarikat (AS) di Malaysia Edgard D. Kagan menyatakan keyakinan terhadap pelaburan berterusan firma AS di Malaysia, didorong minat mereka dengan potensi pasaran negara ini dan penyepaduannya dalam rangkaian perdagangan global.

Beliau menekankan perkongsian ekonomi yang berterusan antara AS dan Malaysia selain pelaburan dan peluang pekerjaan yang telah dijana oleh syarikat AS di negara ini.

"Kami amat berbangga dengan pelaburan AS di Malaysia yang telah mewujudkan lebih 300,000 pekerjaan," katanya dalam program The Nation terbitan Bernama TV semalam.

Beliau berkata Malaysia telah mendapat manfaat luar biasa daripada perdagangan global dan telah menikmati kemakmuran hasil kerjasamanya dalam perdagangan antarabangsa.

"Antara perkara yang menjadi sangat jelas semasa pandemik adalah timbulnya cabaran dalam bidang contohnya rantaian bekalan apabila perdagangan tradisional kurang diberikan tumpuan," katanya.

Kagan juga menekankan kepentingan penyertaan Malaysia dalam Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) di samping peranan Malaysia dalam membentuk norma dan piawaian perdagangan antarabangsa.

IPEF merangkumi 14 negara dalam rantau Indo-Pasifik, mewakili kira-kira 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Kerangka itu diwujudkan di bawah pentadbiran Presiden AS Joe Biden untuk menangani isu ekonomi jangka panjang, membolehkan anggotanya memberi tindak balas serta berada seiring dengan peluang dan cabaran global baharu.

14 negara itu ialah Australia, Brunei, Fiji, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Thailand, AS dan Vietnam.

Beliau berkata semua negara itu sangat penting dan tidak terhad kepada negara yang menjadi sebahagian daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) iaitu Malaysia, Vietnam, Brunei, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina.

"Kita (IPEF) akan berkembang.

"Saya berpendapat dengan menganggotainya, (dapat) membantu membentuk hasil, mencerminkan penglibatan sekian lama Malaysia dalam perdagangan," katanya.

Kagan berkata penglibatan sekian lama Malaysia dalam membantu menetapkan norma yang mentadbir perdagangan antarabangsa memberi isyarat kepada pelabur bahawa Malaysia mahu menjadi sebahagian daripada penetapan piawaian tertinggi yang mungkin.

"Anda boleh melihat kesannya melalui inisiatif, aliran pelaburan tambahan daripada syarikat AS ke Malaysia sejak IPEF diumumkan," katanya.

Beliau berkata hubungan ekonomi AS-Malaysia adalah kukuh, dengan lebih RM150 bilion nilai pelaburan langsung asing (FDI) sejak 2021.

AS ialah pelabur utama di Malaysia.



-- BERNAMA