KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia kembali meningkat pada sesi awal pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lebih menggalakkan.

Seorang penganalisis berkata sentimen bertambah baik dipacu oleh set data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh, sekali gus menunjukkan ekonomi AS kekal kukuh utuh tanpa kemelesetan.

Pada 9.12 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 3.30 mata kepada 1,390.04 daripada 1,386.74 pada penutup Selasa.

Indeks utama dibuka 0.93 mata lebih kukuh pada 1,387.67.

Pasaran yang lebih luas positif dengan kaunter untung melepasi rugi 177 berbalas 115, manakala 206 kaunter tidak berubah, 1,824 tidak diniagakan dan 84 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 244.55 juta unit bernilai RM75.15 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng mengunjurkan FBM KLCI akan menyaksikan pemulihan sedikit dengan minat belian kembali kepada saham kewangan dan teknologi berikutan kemunculan kegiatan pengambilan untung sejak tiga hari lalu.

"Justeru, kami menjangkakan indeks akan berlegar dalam julat 1,380-1,390 hari ini," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing naik tiga sen kepada RM8.74 dan RM9.22, Public Bank menambah dua sen menjadi RM3.87 dan CIMB untung satu sen kepada RM5.16 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.82.

Bagi saham aktif, Tanco peroleh setengah sen kepada 25 sen, MyEG turun 2.5 sen menjadi 77.5 sen, manakala TWL, Classita dan Dataprep tidak berubah, masing-masing mencatatkan 3.5 sen, sembilan sen dan 17 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 21.20 mata kepada 10,215.51, Indeks FBMT 100 mengembang 21.27 mata kepada 9,919.33 dan Indeks FBM ACE menambah 16.77 mata kepada 5,061.80.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 18.81 mata menjadi 10,502.48 dan Indeks FBM 70 memperoleh 19.07 mata kepada 13,401.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengembang 32.38 mata kepada 15,418.70, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian 0.22 mata lebih tinggi pada 158.49, dan Indeks Perladangan menambah 6.51 mata kepada 6,754.93 manakala Indeks Tenaga susut 3.37 mata kepada 777.95.

-- BERNAMA