KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan parti-parti politik agar tidak memasang apa jua bentuk bahan kempen di mana-mana premis dan pepasangan elektrik milik syarikat utiliti negara itu sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 Johor pada 12 Mac 2022.

Larangan ini termasuklah menampal atau menggantung bahan-bahan kempen seperti poster, bendera dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.

Perbuatan ini boleh mengundang bahaya kerana berisiko mengakibatkan renjatan elektrik.

Ia juga mungkin menyebabkan gangguan bekalan elektrik jika percikan arka (flashover) berlaku sehingga merosakkan harta benda bahkan mengancam nyawa.

Pemasangan bahan-bahan kempen tersebut juga boleh menghalang warga kerja TNB untuk mendapat akses untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana talian penghantaran elektrik termasuk tiang bendera yang diperbuat daripada buluh yang boleh menyebabkan renjatan elektrik pada mereka yang berada berhampiran.

''Di bawah peruntukan Seksyen 37 (10), Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), pelaku boleh didakwa dan jika didapati bersalah, akan didenda tidak melebihi RM25,000,'' kata TNB dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Sebagai langkah pencegahan, TNB, menerusi rondaan rutin akan menurunkan bahan kempen pilihan raya yang berisiko menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna.

Orang ramai yang ternampak situasi yang boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik, boleh segera menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mencegah perkara yang tidak diingini daripada berlaku. - DagangNews.com