KUALA LUMPUR: Program Keusahawanan Asnaf SME Bank (ISHRAF 2.0) telah berjaya mencapai jualan terkumpul sebanyak RM3.6 juta melalui 79 peserta setakat suku ketiga 2022.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata SME Bank memperuntukkan dana Zakat sebanyak RM600,000 bagi program itu manakala rakan strategiknya iaitu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) serta SME Corporation Malaysia (SME Corp) masing-masing menyediakan dana berjumlah RM284,400 dan RM190,000.

Penambahan dana itu membolehkan program berkenaan memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan Asnaf di enam negeri seperti Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Kuala Lumpur berbanding edisi ISHRAF 1.0.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Aria Putera Ismail berkata lima peserta program ISHRAF 2.0 terbaik telah mencatatkan purata jualan sebanyak RM22,000 sebulan.

Beliau menjelaskan jualan keseluruhan peserta meningkat dengan purata sebanyak RM5,100 sebulan sejak menyertai program ISHRAF 2.0, berbanding RM3,300 sebulan sebelum ini.

Program ISHRAF 2.0 yang bermula pada November 2021 merupakan kesinambungan daripada ISHRAF 1.0 yang bertujuan memperbaiki keadaan hidup Asnaf dan usahawan mikro yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Antara topik yang dibincangkan oleh para peserta ialah penyediaan pelan serta model perniagaan, pemasaran digital dan pengurusan kewangan.

-- BERNAMA