KELUARAN Dalam Negara Kasar (KDNK) China yang dijangka berkembang 1.2 peratus pada suku pertama tahun ini berikutan penularan wabak COVID-19 yang membantutkan aktiviti ekonominya, kemungkinan besar akan melantun semula sepanjang tahun yang menjadikan pertumbuhan keseluruhan antara 4.6 peratus dan 5.2 peratus bagi 2020, kata Bloomberg Economics.

Ketua Ekonominya yang berpangkalan di Washington, Tom Orlik berkata wabak itu telah menjejaskan ekonomi China dan juga ekonomi-ekonomi lain di dunia, memandangkan peranan besar negara itu dalam ekonomi global.

"Kami melihat prospek suram bagi suku pertama dan kemungkinan suku kedua juga; tetapi kami menjangkakan ia akan melantun semula sepanjang tahun dengan pengurangan bilangan kes baharu COVID-19," katanya pada seminar berasaskan web secara langsung mengenai COVID-19 dan kesannya ke atas pertumbuhan ekonomi, di sini, pada Jumaat.

Orlik berkata aktiviti ekonomi China kini kembali seperti biasa dengan lebih ramai orang mula pergi kerja dan kilang-kilang menyambung semula operasi mereka.

Beliau berkata Bloomberg Economics menjangka KDNK 2020 China tumbuh sebanyak 5.2 peratus sekiranya pemulihan meningkat dengan cepat dan 4.6 peratus sekiranya pemulihan mengambil masa yang lebih lama daripada dijangkakan.

Sebelum berlakunya wabak itu, beliau menjangka ekonomi China berkembang memandangkan permeteraian fasa pertama perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan tumbuh sebanyak 5.9 peratus dalam suku pertama 2020.

Bagaimanapun angka suku pertama itu disemak semula dengan menurunkannya kepada 4.5 peratus pada akhir Januari kerana ia menggunakan kes sindrom pernafasan akut yang teruk (SARS) 2003 sebagai asas kepada pengiraannya dan mengurangkannya lagi kepada 1.2 peratus pada akhir Februari kerana dilihat jelas bahawa COVID-19 akan membawa lebih banyak kesan negatif.

Ketika ini terdapat lebih 98,000 kes COVID-19 di seluruh dunia berbanding kira-kira 8,000 kes SARS pada 2003.

Menurut Orlik, sekiranya ekonomi China tumbuh perlahan, negara-negara lain juga akan turut terjejas terutamanya negara-negara jirannya dan ekonomi yang bergantung kepada komoditi.

Beliau berkata beberapa bank pusat telah mula mengurangkan kadar faedahnya untuk mengimbangi kesan wabak tersebut. Baru-baru ini, Rizab Persekutuan AS menurunkan kadar faedahnya sebanyak 50 mata asas.

-- BERNAMA