KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd menjual sebanyak 12,296 unit kenderaan pada November, menjadikan angka jualan dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini berjumlah 141,900 unit bagi pasaran domestik dan eksport.

Sehubungan itu, Proton telah melepasi jumlah jualan sepanjang tahun sebelumnya iaitu 141,432 unit.

"Pertumbuhan sebanyak 12 peratus yang membanggakan berbanding tahun ke tahun membawa kepada pegangan pasaran yang stabil iaitu 19.7 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Proton S70 telah melepasi jumlah tempahan sebanyak 900 unit seminggu, menjadikan jumlah tempahan untuk model itu melebihi 3,000 unit, manakala Proton siri X yang terdiri daripada model X50, X70 dan X90 mencatat pencapaian luar biasa berjumlah 201,710 unit di atas jalan raya.

Sementara itu, Proton X50 selaku peneraju bagi kategori kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B, memberi sumbangan ketara kepada kejayaan pada November dengan penjualan 2,115 unit, manakala sebanyak 102,325 unit telah terjual sejak dilancarkan.

"Proton X70 mencatatkan jualan sebanyak 95,100 unit sejak dilancarkan, mengekalkan kedudukan pasarannya yang kukuh, manakala Proton X90 meraih 4,285 unit jualan, sekali gus menyumbang kepada kejayaan keseluruhan siri X," kata Proton.

Model PIES Proton (Saga, Iriz, Persona, Exora) terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 34.3 peratus.

Proton Saga kekal meraih jualan tertinggi, mendahului dengan 6,349 unit terjual sekali gus sebagai model kedua tertinggi bagi tahun ini, mempamerkan popularitinya yang berkekalan dalam kalangan pembeli kereta Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd Roslan Abdullah berkata syarikat itu yakin untuk mengakhiri tahun ini dengan kukuh dan menyerahkan kereta kepada pelanggan sebelum akhir 2023.

-- BERNAMA