KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Perak hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata tiada sebarang aspek harus diketepikan agar keadilan dapat ditegakkan dan kejadian seumpama itu dapat dicegah daripada berulang.
Pada masa sama, Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini. Al-Fatihah,” kata beliau.
Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri Perak memaklumkan sedang memantau perkembangan insiden itu secara dekat dan telah mengarahkan pihak sekolah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis.
Jabatan itu juga telah menyelaras supaya perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta sokongan psikososial diberikan kepada murid, guru dan warga sekolah yang terkesan bagi memastikan kesejahteraan emosi mereka diberikan perhatian sewajarnya.
-- BERNAMA