KUALA LUMPUR: Strategi pertumbuhan dan pendapatan antara negeri perlu diutamakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), bagi meletakkan semula hala tuju pembangunan negara ke landasan yang tepat, serta menyiapsiagakan Malaysia bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan tahun 2025. 

Menurut Penganalisis ekonomi Prof Madya Mohd Yusof Saari, dalam tempoh lima tahun ini, perkara penting dalam usaha merapatkan jurang pendapatan dan jurang negeri adalah mengutamakan kepada pembangunan luar bandar.

Tambahnya, potensi pembangunan negeri khususnya di luar bandar harus dimaksimumkan sepenuhnya bagi meningkatkan taraf ekonomi di Malaysia.

"Sudah tiba masanya kita melaksanakan bottom-up approach. Maksudnya pelaburan, pemusatan industri dan kedudukan industri lebih ke arah daripada hanya di Wilayah Persekutuan.

"Kini sudah tiba masanya untuk kita melihat potensi-potensi industri yang boleh dibangunkan di lokaliti dan daerah negeri-negeri yang mana boleh menjadi pemacu kepada pertumbuhan negeri berkenaan.

"Di dalam ekonomi, setiap ruang di negeri dan lokaliti itu adalah unik dan berbeza-beza di mana ia tidak sama antara negeri-negeri lain.

"Contohnya, di Melaka lebih sesuai dengan pelancongan, manakala di Pahang mungkin lebih bersifat pembuatan atau pertanian boleh dimajukan di sana," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.       

Pada masa sama, Mohd Yusof berkata kerajaan juga harus mengutamakan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) kerana pembangunan (PKS) perlu seiring dengan pembangunan negeri.