KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) telah mengesahkan penarafan AA/Stabil untuk program sukuk ijarah Tanjung Bin Power Sdn Bhd bernilai RM4.5 bilion memandangkan prestasi operasi yang memuaskan loji janakuasa arang batu bertenaga 2,100 megawatt (MW) syarikat itu.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, RAM Ratings berkata perjanjian pembelian tenaga (PPA) Tanjung Bin dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyokong profil perniagaannya yang kukuh.

"Bagaimanapun, risiko kawal selia dan projek tunggal adalah wujud kepada syarikat berkenaan, sama seperti juga pengeluar tenaga bebas yang lain," katanya.

RAM Ratings berkata Tanjung Bin Power pada 2022 telah merekodkan kerugian yang agak kecil dalam pembayaran kapasiti tersedia (ACP) kurang daripada satu peratus berbanding ACP setahun penuh disebabkan oleh peningkatan pemadaman paksa yang menamatkan rekod prestasi operasi yang teguh loji itu sejak 2015.

Tanjung Bin Power terus memperoleh bayaran penggunaan harian tambahan, disokong oleh baki 15 peratus daripada CRFnya, pada tahun kewangan 2022 .

RAM Ratings ketika mengulas mengenai pembayaran balik sukuk bertarikh 16 Ogos 2022, nisbah perlindungan perkhidmatan kewangan syarikat (FSCR, dengan baki tunai, selepas pengagihan) berada pada 3.43 kali, lebih rendah sedikit daripada unjuran.

Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan dalam rizab tunai iaitu daripada RM1.96 bilion kepada RM687.98 juta menjelang hujung Disember 2022, memandangkan keperluan modal kerja yang lebih tinggi berikutan kenaikan harga arang batu dan kutipan tertunda pada tahun kewangan 2022.

"Bagaimanapun, jangkaan harga arang batu yang lebih sederhana dijangka memulihkan modal kerja dan menormalkan rizab tunai.

"Melangkah ke hadapan, kami meramalkan syarikat ini akan mendaftarkan FSCR tahunan (tanpa baki tunai) kurang daripada satu kali, menunjukkan pergantungan pada baki tunai dibawa ke hadapan bagi memenuhi obligasi sukuk," ka3tanya.

-- BERNAMA