KUALA LUMPUR: Jenama berita paling dipercayai, Astro AWANI terus komited membantu jenama tempatan dan antarabangsa termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melonjakkan jenama produk mereka.

Perkara itu diakui Penolong Naib Presiden Kandungan Berjenama Astro AWANI, Cherish Leow, yang sentiasa berusaha meningkatkan jenama produk mereka dengan mengadaptasi kecanggihan teknologi, mempelbagaikan strategi pemasaran, operasi dan saluran masa kini. 

"Sebagai strategis kandungan berjenama, kami membina strategi komunikasi dan kandungan bagi jenama tempatan dan luar negara, melalui pengisian editorial dan pendekatan kreatif.

"Bahagian “Editorial Services & Branded Content” akan menyelaraskan kandungan berjenama dengan naratif editorial bilik berita, dan memastikan kandungan yang dihasilkan adalah relevan dan menambah nilai kepada masyarakat.

"Saluran yang kami tawarkan adalah menyeluruh melibatkan liputan berita secara komprehensif, kandungan media sosial di Facebook, Instagram, Twitter, Tiktok dan vlog, termasuk mengadakan acara, webinar dan persidangan," katanya pada pembentangan "Gahkan Jenama Anda Bersama Astro AWANI" di persidangan maya Reboot Now, pada Jumaat.

Dalam pada itu, tambah Cherish, beberapa perkara perlu diberikan perhatian dalam membina sebuah jenama gah. 

"Antaranya, menentukan tujuan atau fokus, menetapkan sasaran penonton, merangka mesej yang ingin disampaikan, mengenal pasti saluran komunikasi, merancang tempoh masa dan memahami maklum balas untuk pengguna," ujarnya. 

Pada masa sama, persidangan itu turut menampilkan Ketua Pegawai Komersil TNG Digital Sdn Bhd, Danny Chua, yang membincangkan evolusi perniagaan tanpa tunai. 

Di samping itu, bagi menggalakkan kaum hawa terus berdaya saing dalam perniagaan, Reboot Now  menjemput Ketua Pegawai Eksekutif Naelofar, Mohd Aqief Mohd Noor untuk membicarakan usaha pihaknya membantu golongan tersebut untuk melangkah lebih maju dalam dunia perniagaan. 

Antara lain, persidangan tersebut turut mengetengahkan idea bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memaksimumkan penggunaan teknologi dan sesi bengkel untuk pemantapan bisnes yang diselarikan dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Orang ramai masih berpeluang untuk mengikuti persidangan Reboot Now dan mendapatkan pelbagai pakej menarik di https://www.linc.astroawani.com/rebootnow2022

Jom daftar dan rancakkan bisnes anda sekarang!

Agenda Reboot Now pada Sabtu, 15 Januari ini.