KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat selepas mencatatkan kenaikan pada empat sesi dagangan terakhir berturut-turut.

Pada 9 pagi, unit tempatan susut kepada 4.1540/1570 berbanding dolar AS daripada 4.1525/1560 ketika ditutup pada Khamis.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata dolar AS telah mula menunjukkan pengukuhan belian.

"Di AS, data Tuntutan Pengangguran Awal mencatatkan angka yang jauh lebih rendah berbanding jangkaan manakala Indeks Harga Pengeluar pula menunjukkan data yang sedikit tinggi berbanding jangkaan.

"Gabungan dua laporan ini dijangka mendorong pengukuhan dolar AS berbanding ringgit dalam beberapa hari akan datang," katanya.

Pada awal dagangan Jumaat, ringgit bagaimanapun diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding yen kepada 3.6477/6507 daripada 3.6638/6672 ketika ditutup pada Khamis dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6810/6851 daripada 5.6985/7033.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0809/0834 daripada 3.0807/0835 semalam namun stabil berbanding euro kepada 4.8166/8200 daripada 4.8215/8255.

-- BERNAMA