KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah sekali lagi hari ini berikutan permintaan terhadap dolar AS yang mengukuh susulan data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) yang meningkat lagi pada Januari, mengatasi jangkaan pasaran, kata penganalisis.

Pada 9.01 pagi, ringgit merosot kepada 4.4170/4205 berbanding dolar AS daripada 4.3900/3945 pada Rabu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata bacaan jualan runcit AS yang berdaya tahan yang meningkat 3.0 peratus pada Januari 2023 daripada -1.1 peratus pada Disember 2022 menunjukkan bahawa walaupun inflasi sederhana, pengguna masih berbelanja.

"Walaupun inflasi asas kekal tinggi dalam persekitaran pasaran tenaga kerja yang terhad, bukti bahawa permintaan pengguna AS yang kukuh dijangka mendorong harga meningkat dan terus menjadi kebimbangan.

"Bagaimana Rizab Persekutuan (Fed) AS akan respons terhadap data ini menjadi persoalan terbuka," kata Innes.

Dalam negara, ringgit kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3044/3073 daripada 3.2926/2962 pada Rabu dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.2926/2954 daripada 3.2909/2947 semalam.

Ringgit susut berbanding euro kepada 4.7209/7246 daripada 4.7083/7131 sebelum ini, bagaimanapun, meningkat berbanding pound kepada 5.3079/3121 daripada 5.3093/3147 semalam.

-- BERNAMA