KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga pada Rabu dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika sebahagian besar pelabur menunggu keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam mesyuarat pertama 2024, hari ini.

Pada 9.05 pagi ini, ringgit turun kepada 4.7270/7335 berbanding dolar AS daripada 4.7265/7290 pada akhir urus niaga semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran menjangkakan BNM akan terus mengekalkan OPR pada paras semasa iaitu 3.0 peratus.

"Mata wang Asia Tenggara secara amnya telah mengukuh berbanding dolar AS selepas laporan media baru-baru ini mengetengahkan hasrat China untuk menyuntik sejumlah US$278 bilion (2 trilion yuan) ke dalam ekonominya bagi merangsang pasaran tempatan serta keyakinan pelabur.

"Malah, wujud tanggapan bahawa ringgit berkemungkinan meningkatkan kedudukannya dalam kelompok mata wang Asean lain sekiranya China bertindak melaksanakan hasratnya itu," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1900/1946 daripada 3.1994/2013, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9976/6.0059 daripada 6.0159/0191 dan naik berbanding euro kepada 5.1293/1363 daripada 5.1457/1485 pada akhir urus niaga semalam.

Selain itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang kelompok negara Asean, termasuk mengukuh sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.5242/5293 daripada 3.5283/5304, naik berbanding baht Thailand kepada 13.2106/2343 daripada 13.2395/2521 dan meningkat berbanding peso Filipina pada 8.39/8.41 daripada 8.41/8.42, sebelum ini.

Ringgit bagaimanapun diniagakan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 302.3/302.7.4 daripada 302.2/302.4, semalam.

-- BERNAMA