KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga Isnin dengan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), didorong sentimen berhati-hati peniaga menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) yang dijadualkan pada 19-20 Mac, 2024.

Pada 9.05 pagi ini, ringgit susut ke paras 4.7150/7190 berbanding dolar AS daripada 4.7050/7095 sewaktu urus niaga ditutup pada Jumaat lepas.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kalangan peniaga dan pelabur memberi tumpuan terhadap mesyuarat Fed yang disifatkan sebagai acara penting minggu ini bagi mendapatkan petunjuk mengenai hala tujunya, terutama membabitkan prospek kadar faedah utama.

"Biarpun Fed mungkin mengekalkan kadar faedah, terdapat spekulasi sama ada mereka akan melaraskan unjuran bagi perubahan kadar di masa depan, terutamanya jika mengurangkan jangkaan jumlah pengurangan kadar pada 2024 iaitu daripada tiga kepada dua kali.

"Ini mampu menjadikan dolar AS dilihat lebih menarik. Mereka di pasaran juga memantau secara teliti mengenai sebarang tanda-tanda bahawa Fed mungkin menyasarkan kadar faedah lebih tinggi yang pastinya memberi reaksi besar terhadap pergerakan dolar AS," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 6.0027/0078 daripada 6.0003/0060 minggu lepas dan rendah berbanding euro kepada 5.1323/1366 daripada 5.1275/1324.

Namun, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1574/1603 daripada 3.1637/1669 pada Jumaat.

Pada masa sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain, termasuk mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.1191/1350 daripada 13.1480/1661 pada Jumaat lepas dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.46/8.48 daripada 8.47/8.48.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5226/5259 daripada 3.5183/5219 dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 302.2/302.6 daripada 301.5/302.0 sebelum ini.

-- BERNAMA